Thursday, December 09, 2010

Cara menulis surat peletakan jawatan sbg GSTT

Disebabkan aku dah terkena, aku rasa, jangan sampai pisang berbuah dua kali. Niat aku cuma jangan ada lagi orang yang teraniaya macam aku gara-gara kesalahan bodoh yang memang sangat sukar diterima. Aku terlalu teruja nak jadi cikgu, sampai tulis sebab kat surat dapat tawaran KPLI. Cara ni khusus untuk GSTT. Tapi kalau yang bekerja dengan swasta rasa sesuai, boleh juga ikut.
Secara umumnya, sebagai GSTT, bila kita hantar notis berhenti, kerani akan segera hantar ke JPN dan PPD. Kemudian, JPN akan semak sama ada notis tersebut cukup sebulan atau tidak. Jika tidak cukup sebulan, notis itu akan meminta supaya anda membayar sebulan elaun sebagai ganti kurang notis. Surat penerimaan notis itu akan dihantar kepada PPD dan PPD akan hantar ke sekolah untuk pihak sekolah hantar kepada GSTT yang telah meletak jawatan berkenaan. Jadi, sila semak dengan pihak sekolah mengenai notis tersebut.

  1. Bila menulis surat peletakan jawatan, pastikan tarikhnya sebulan atau lebih dari tarikh hendak meletak jawatan. Contohnya, tawaran KPLI keluar pada 14 Jun 2010 dan anda dikehendaki mendaftar pada 28 Jun 2010. Oleh kerana hari terakhir di sekolah adalah pada 25 Jun 2010, jadi, tarikh surat berkenaan adalah 24 Mei 2010.
  2. Jangan sesekali menulis sebab berhenti adalah kerana tawaran KPLI. Kata sahaja anda sudah mendapat tawaran kerja baru. Ini kerana, ada pihak JPN yang terlalu 'skema' akan mengambil kira bahawa notis itu tidak cukup kerana mereka sedia maklum, pihak BPG memberikan notis dua minggu sebelum tarikh pendaftaran.
Jadi, dua perkara yang perlu diambil kira ketika menulis surat peletakan jawatan. Satu TARIKH. Dua, SEBAB.

Kepada yang sudah melalui sesi temuduga untuk KPLI Januari 2011, moga anda berjaya!!

Tuesday, December 07, 2010

Nama syaitan dalam Surah Fatihah

Semoga boleh dimanfaatkan. Al-Fatihah adalah satu rukun dalam solat, apabila cacat bacaannya maka rosaklah solat. Oleh itu perbaikilah bacaannya dengan ilmu tajwid. Bukan setakat bacaannya saja rosak malah kita menyebut nama syaithan di dalam solat kita. Berikut adalah nama2 syaithan laknat yang wujud didalam bacaan Al-Fatihah yang salah, sekiranya kita tidak berhati-hati.

Nama syaitan

  1. DU LI LAH (bila dibaca tiada sabdu) sepatutnya DULILLAH
  2. HIR ROB (bila dibaca dengan sabdu) sepatutnya HI ROB
  3. KIYYAU (bila dibaca dengan sabdu) sepatutnya KI YAU
  4. KANNAK (bila dibaca dengan sabdu) sepatutnya KA NAK'
  5. KANNAS (bila dibaca dengan sabdu) sepatutnya KA NAS
  6. Iya (disebut tanpa sabdu) sepatutnya IYya. - Iya bermaksud 'matahari'. Dalam ayat ke 5, jika salah bacaannya akan bermaksud "kepada mataharilah yang kami sembah dan kepada matahari kami meminta pertolongan"!!! Na'udzubillahimindzalik....
  7. SIROTHOLLAZI............. sehingga habis hendaklah dibaca tanpa henti.
  8. AMIN ................hendaklah mengaminkan Al-Fatihah dengan betul iaitu AA... dua harakat, MIN.... 3 harakat, semoga Amin kita bersamaan dengan Amin malaikat Insya-Allah. Semoga kita menjadi orang yang sentiasa membaiki bacaannya.

Perhatian: Sebarkan hukum Allah walaupun satu ayat semoga kita mendapat rahmatNya,

Monday, December 06, 2010

Doa Menyambut Tahun Baru

Tahun Masihi dah hampir ke penghujung. Tahun Hijrah, hari ini adalah hari terakhir tahun 1431 Hijrah. Sekejap sangat masa berlalu. Jadi, sempena tahun baru yang akan bermula esok, sama-samalah kita berdoa. Moga tahun baru nanti adalah episod baru dalam hidup kita untuk kita memulakan perkara yang baik-baik. Jangan setakat doa dan azam sahaja ye... Amalkan juga apa yang diminta dalam doa yang dipanjatkan kepada Allah.


*Klik untuk besar*
Doa akhir tahun yang dibaca ketika waktu Asar


*Klik untuk besar*
Doa awal tahun yang dibaca ketika masuk maghrib


Moga kehidupan kita dalam dunia tahun baru 1432 H akan lebih diberkati dan berubah ke arah kebaikan. Amin.

Friday, December 03, 2010

Isu bertudung (untuk kesekian kalinya)

Sambil jengah-jengah blog-blog yang ada, aku masuk ke blog Ustaz Zaharuddin. Baca artikel mengenai rintihan seorang lelaki. Dan aku mula berfikir untuk ke sekian kalinya tentang isu hak dan kesaksamaan antara lelaki dan perempuan. Perempuan ketika ini cukup bijak berkata-kata memperjuangkan hak yang sama rata dengan lelaki. Sehinggakan sampai ke tahap perempuan juga perlu pandai bermain bola sepak dan menjadi imam kepada makmum bercampur lelaki dan perempuan.
Dalam sibuk memperjuangkan hak-hak wanita, mereka ni juga lupa bahawa mereka seperti menolak hak kaum lelaki untuk bergerak bebas tanpa ada rasa konflik dalam diri. Tentunya hak untuk melihat-lihat persekitaran tanpa timbul nafsu serakah yang membuak-buak. Kenapa aku timbulkan isu ni? Hmmm... berbalik pada isu perempuan bertudung. Ada antara mereka yang tidak tahu apakah dia panduan untuk bertudung. Ada yang mengatakan bertudung sudah mencukupi. Tetapi, tahu ke tak yang bertudung sahaja tidak mencukupi sebagai syarat menutup aurat.
Ha.. meh tengok sini apa dia kesalahan wanita tentang menutup aurat. Pertama, ada yang kata, aurat itu adalah memakai tudung sahaja. Kedua, ada yang kata nak bertudung dan berlengan pendek sudah memadai... (hmmm....)
Ada juga yang berpakaian cantik, berkebaya yang longgar, bertudung menutupi dada... tapi, bila angin bertiup, terus membuka belahan kat kain nun... nampak betis bunting padi.. Pak Aji yang ternampak pun terus tutup mata dengan jari yang direnggangkan... astaghfirullah....

Ada juga yang rasa berselendang menutup sebahagian rambut sudah mencukupi. Baru nampak stylo agaknya kot....

Yang lain pula, memang cukup suka menyelempangkan tudung yang dipakainya kebelakang leher. Maka, terdedahlah permata yang sentiasa menjadi idaman lelaki. Hoho...

Dan satu lagi, bertudung tapi tudungnya nipis. Maka nampaklah batang leher yang jinjang... Macam tudung bawal, tudung tenggiri... Aku pun pelik kenapa ada yang suka pakai tudung-tudung macam tu. Memang cantik sebab ada batu-batu lawa... Tapi, tak bolehkah cari tudung yang tidak jarang? hmmm...

Dan yang menjadi trend masa kini adalah bertudung awning yang pendek tidak menutupi dada. Cuba bandingkan antara cara pemakaian tudung rahib kristian dengan kawan kita yang sorang ni. Sama tak?


Ketahuilah, orang Kristian dan Yahudi juga bertudung. Dan ketahuilah juga bahawa orang Islam perlu dibezakan dari mereka. Kenapa? Sebab setiap orang itu ada identiti masing-masing. Kenapa perlu menyerupai orang lain tika kita mampu berdiri dengan identiti kita sendiri? Dalam hadis sendiri sudah dinyatakan.

Ibnu Taimiyah berkata bahwa Abu Dawud telah meriwayatkan sebuah hadits hasan dari Ibnu ‘Umar, ia berkata bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda :

“Barang siapa meniru suatu kaum maka dia termasuk golongan mereka.”

Hadits di atas menetapkan haramnya meniru mereka dan secara zahirnya menunjukkan bahawa perbuatan itu merupakan perbuatan kufur sebagaimana tersebut pada firman Allah pada surah Al Maidah ayat 51:

“Barang siapa di antara kamu yang berteman dengan mereka, maka sesungguhnya ia termasuk golongan mereka.”

Islam begitu teliti, hinggakan nabi s.a.w. sendiri melarang orang Islam meniru cara orang Yahudi tentang uban di rambut.

“Rubahlah uban rambut kepala kamu dan jangan kamu meniru kaum Yahudi.”
(Riwayat At-Tirmizi).

Orang Kristian, bertudung dan tudungnya tidak melabuhi dada. Tudungnya juga diikat sedikit ke belakang. Sama seperti yang diamalkan oleh kebanyakan wanita Muslim sekarang. Tidakkah itu termasuk dalam larangan meniru gaya bukan Muslim?

Orang Yahudi pula, bertudung, tetapi diselempangkan ke belakang lehernya. Itu juga yang dijadikan amalan dan fesyen busana muslimah. Hmmm....

Tahu macamana cara bertudung muslimah yang sebenar? Baca sini untuk lebih lanjut. Artikel tu menerangkan dengan terperinci macamana sebenarnya bertudung dan menutup aurat. Cuma, secara amnya, bertudung, biarlah labuh menutupi dada. Berpakaian longgar dan tidak jarang sehingga boleh menampakkan susuk tubuh. Tidak berkain belah. Kira macam ni la.




Manis kan? :D

Jadi, senang cerita, bila tengok balik artikel kat Ustaz Zaharuddin tu, kaitkan semula sejauh mana kita kaum wanita menjaga hak lelaki dalam menjalani kehidupan seharian mereka. Kita menghina lelaki yang mencabul kehormatan wanita lain. Puas dikata dan diumpat. Tetapi, jika dilihat semula, wanita itu mungkin 'sengaja' menduga lelaki itu dengan cara dia berpakaian. Maka, orang kata, bertemu buku dengan ruaslah.
Nanti! Mungkin ada juga yang berkata bahawa wanita yang dicabulnya menutup aurat sakan. Memang mengikut syariat. Tetapi kenapa dia tetap kena? Hmmm.... kewajipan menutup aurat ni diletakkan ke atas setiap wanita. Dengan kata lain, setiap wanita bertanggungjawab menjaga auratnya dari dilihat lelaki bukan muhrim. Maka, jika seorang tidak menutup aurat, secara tidak langsung, dia telah mendedahkan wanita lain dengan risiko untuk dicabul kehormatannya. Mungkin dia tidak kena, tetapi wanita lain terkena hanya kerana sikap tidak bertanggungjawabnya pada diri sendiri dan orang lain. Dengan kata lain, dia adalah penyebab kepada rakan wanita yang dicabul kehormatannya. Wallahua'lam.

Wednesday, December 01, 2010

Saiz perut bayi


Ramai ibu yang baru melahirkan anak risau tentang anak kecilnya yang tidak cukup susu. Ada antara kawan-kawan yang tidak yakin susu ibu dapat memenuhi kantung perut dan mengenyangkan bayi mereka. Ramai juga antara mereka tidak tahu, bahawa saiz perut si kecil yang baru lahir tidak lebih dari sebesar guli kecil ataupun sebiji kacang kuda (5-7ml). Dan kerana kurangnya kesedaran tentang saiz perut bayi baru lahir, maka ramai ibu yang tidak yakin untuk menyusukan anak mereka kerana menyangka susu yang mereka hasilkan tidak sebanyak susu formula dalam botol kecil yang mereka buat.
Menurut Puan Rita Rahayu, seorang pakar laktasi bertauliah, bayi kecil yang baru lahir tidak memerlukan kuantiti susu yang terlalu banyak kerana saiz perutnya yang sangat kecil. Mengetahui tentang itu, 'badan ibu' hanya menghasilkan antara 20-30 ml yang sebenarnya sangat banyak untuk seorang bayi. Ye la, cuba bayangkan saiz perut si kecil yang hanya 5-7ml kapasitinya dan kuantiti kolostrum yang 4 - 5 kali ganda banyaknya. Bukankah lebih dari cukup?
Jadi, soal susu tidak cukup untuk bayi baru lahir seharusnya tidak timbul. Badan ibu secara semulajadinya mengetahui apa yang diperlukan oleh bayinya. Kuantiti susu ibu yang diminum oleh anak secara susuan terus tidak semestinya sama dengan kuantiti susu yang diperah. Jadi, jika anda mahu menyusukan anak secara eksklusif, tambahkan pengetahuan dengan menghadiri kursus penyusuan yang banyak dianjurkan oleh badan-badan swasta dan juga hospital kerajaan. Lengkapkan diri dengan maklumat penyusuan dengan sebaiknya supaya azam untuk menyusukan anak secara eksklusif tidak terbantut di tengah jalan dek kekurangan ilmu. Ibu-ibu perlu ingat, menyusukan anak di waktu zaman sebegini perlu dilakukan dengan ilmu penuh di dada. :D Selamat Menyusukan Anak Anda. Tiada yang lebih baik dari susu ibu...

Tuesday, November 30, 2010

Akhirnya ia terjadi juga

Pagi ni, aku dok kemas-kemas kabinet dapur (cubaan memberanikan diri untuk mengemas) selepas beberapa hari terdengar cerita yang tak berapa seronok. Setelah hampir setahun, Mr Hubby beritahu aku yang makhluk kecil tu dah mula ada balik dalam rumah. Huhu.... Memang rasa seriau juga la. Kali terakhir dulu masa Mr Hubby smash kat bilik air. Masuk dalam mangkuk tandas. Lepas tu, dia tak masuk-masuk dah. Dan tidak ada lagi adegan selongkar-menyelongkar tong sampah. Jadi, aku anggap, dapur dan rumah aku bersih dari mahkluk ni. Tapi, bila satu hari, Mr. Hubby letak perangkap kat dapur, aku mula pelik. Bila ditanya, dia kata saja. Rupa-rupanya, dia berahsia kat aku. Selang dua hari, dia beritahu dia nampak makhluk kecil ni. Aduhai... aku mula takut nak ke dapur malam-malam. Dan yang paling tak seronok bila aku buka kabinet dapur, dia dah tinggalkan khazanah kat dalam tu (gara-gara tak tutup pintu kabinet rapat-rapat). Aku tak berapa berani nak buka sebab takut kalau-kalau ada penghuni kat dalamnya. Lepas beberapa hari, baru pagi tadi aku buka dan kemas-kemas. Susun balik bekas-bekas plastik yang ada. Dalam kepala dah mula fikir, entah-entah, Tupperware aku pun dah kena gigit... Dan... ia memang menjadi nyata. huhu....

Mujurlah masih boleh diguna lagi. Tapi kena basuh bersih la gamaknya... siap tinggal roti dan biskut dalam tu. Agaknya nak buat bekal kalau-kalau aku tak tutup rapat lagi kot. Huh! jangan haraplah cik tikus!!