Wednesday, December 01, 2010

Saiz perut bayi


Ramai ibu yang baru melahirkan anak risau tentang anak kecilnya yang tidak cukup susu. Ada antara kawan-kawan yang tidak yakin susu ibu dapat memenuhi kantung perut dan mengenyangkan bayi mereka. Ramai juga antara mereka tidak tahu, bahawa saiz perut si kecil yang baru lahir tidak lebih dari sebesar guli kecil ataupun sebiji kacang kuda (5-7ml). Dan kerana kurangnya kesedaran tentang saiz perut bayi baru lahir, maka ramai ibu yang tidak yakin untuk menyusukan anak mereka kerana menyangka susu yang mereka hasilkan tidak sebanyak susu formula dalam botol kecil yang mereka buat.
Menurut Puan Rita Rahayu, seorang pakar laktasi bertauliah, bayi kecil yang baru lahir tidak memerlukan kuantiti susu yang terlalu banyak kerana saiz perutnya yang sangat kecil. Mengetahui tentang itu, 'badan ibu' hanya menghasilkan antara 20-30 ml yang sebenarnya sangat banyak untuk seorang bayi. Ye la, cuba bayangkan saiz perut si kecil yang hanya 5-7ml kapasitinya dan kuantiti kolostrum yang 4 - 5 kali ganda banyaknya. Bukankah lebih dari cukup?
Jadi, soal susu tidak cukup untuk bayi baru lahir seharusnya tidak timbul. Badan ibu secara semulajadinya mengetahui apa yang diperlukan oleh bayinya. Kuantiti susu ibu yang diminum oleh anak secara susuan terus tidak semestinya sama dengan kuantiti susu yang diperah. Jadi, jika anda mahu menyusukan anak secara eksklusif, tambahkan pengetahuan dengan menghadiri kursus penyusuan yang banyak dianjurkan oleh badan-badan swasta dan juga hospital kerajaan. Lengkapkan diri dengan maklumat penyusuan dengan sebaiknya supaya azam untuk menyusukan anak secara eksklusif tidak terbantut di tengah jalan dek kekurangan ilmu. Ibu-ibu perlu ingat, menyusukan anak di waktu zaman sebegini perlu dilakukan dengan ilmu penuh di dada. :D Selamat Menyusukan Anak Anda. Tiada yang lebih baik dari susu ibu...

No comments: