Sunday, December 12, 2010

Susu kurang...

Perkara yang pertama jika ingin menyusukan anak adalah ilmu. Hmm... kenapa ilmu? Kerana, menyusukan anak-anak pada zaman sekarang ini tidak semudah zaman ibu-ibu kita dahulu yang tidak bekerja. Zaman sekarang adalah zaman ibu berkerjaya. Jadi, ibu-ibu perlu tahu bagaimana caranya untuk menyusukan anak secara eksklusif untuk enam bulan pertama dan meneruskannya sehingga anak berusia 2 tahun.

Ada kawan-kawan yang mengadu pada aku, susu mereka tidak banyak. Rasa susu kurang dan sebagainya. Kadang-kadang, untuk menerangkan kepada ibu-ibu yang baru terdetik mahu menyusukan anak ketika anak sudah menjangkau usia sebulan dua bukannya senang. Banyak cabaran yang perlu dihadapi. Kadangkala, dek kerana kekurangan maklumat tentang menyusu, mereka akhirnya menyerah kalah.

Konsep menyusukan anak ni adalah supply by demand. Itu konsep yang perlu ditanamkan dalam diri kita. Perlu diingat, tanpa penawaran, maka tiadalah permintaan. Macam yang dah diceritakan sebelum ni tentang saiz perut bayi pada peringkat permulaan (Lihat saiz perut bayi), kuantiti yang diperlukan sangat sedikit. Bila bayi semakin membesar, permintaannya terhadap susu akan turut meningkat. Jadi, susulah bayi sekerap mungkin. Badan ni boleh 'ditipu' untuk mendapatkan kuantiti susu yang banyak. Caranya? Menyusu sekerap mungkin dan melakukan sesi memerah susu dengan konsisten. INGAT!!! Jangan ponteng sesi memerah.

Berbalik kepada pendapat ibu yang merasakan susunya kurang dengan membandingkan kuantiti yang diperahnya. Perlu diingat, kadangkala, susu yang diperah tidak semestinya sama banyak dengan yang diminum anak. Ini kerana, walau sebagus mana pun jenama pam yang diguna, rangsangan dari hisapan anak adalah yang terbaik untuk menghasilkan susu. Namun, ini tidak bermakna pam yang elok tidak mampu menghasilkan susu yang banyak. Para ibu, kalau rasa susu berkurangan, lihat dulu sama ada si anak nampak kenyang apabila lepas menyusu. Jika ya, maksudnya susu itu mencukupi. Nak dapat lebih lagi, susu dan pam dengan kerap.

Mengenai supplemen atau makanan tambahan, ini bergantung pada si ibu. Ada ibu yang makan supplemen dan susunya banyak. Untuk mengetahui sama ada ibu itu kurang susu, lihat senarai semak ini. Dan yang beragama Islam, mungkin boleh cuba amalkan surah al-kauthar.

Ibu perlu ingat, you are what you think. Kalau kita rasa kita tak boleh menyusukan, maka kita tidak akan boleh buat. Ini berdasarkan pengalaman saya sendiri ketika menyusukan Sarah. Memang saya sedikit bermasalah ketika menyusukan Sarah terutamanya 1 bulan pertama. Saya mengalami masalah puting melecet yang sangat teruk. Bayangkanlah, setiap kali hendak menyusu, saya sudah siap-siap ketap bibir untuk menahan sakit. Namun, kerana tekad dan azam untuk menyusu, saya lupakan kesakitan tu. Alhamdulillah, saya amalkan susu ibu yang sapu setiap kali sesi menyusu, akhirnya masalah puting melecet hilang. Tapi, jika dia tidak ada azam yang kuat dan pendirian mahu menyusukan anak, masalah puting melecet akan menjadi penyebab kepada si ibu untuk bertukar kepada susu formula. Hmmm.... alangkah ruginya... untuk ibu... dan juga si anak itu sendiri....

No comments: