Friday, March 11, 2011

Sejarah solat lima waktu - MAGHRIB dan ISYAK


MAGHRIB
Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah dari kejahilan dan kebodohan kaumnya sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukur Nabi Isa lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut iaitu:
  1. Rakaat pertama: Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah Yang Maha Esa.
  2. Rakaat kedua: Untuk menagikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
  3. Rakaat ketiga: Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu satu iaitu hanya Allah semata-mata. Tiada dua dan tiada tiganya.

ISYAK
Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat jalan mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah s.w.t. menghilangkan perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.
  1. Rakaat pertama: Tanda dukacita terhadap isterinya.
  2. Rakaat kedua: Tanda dukacitanya terhadap saudaranya Nabi Harun.
  3. Rakaat ketiga: Tanda dukacitanya terhadap Firaun.
  4. Rakaat keempat: Tanda dukacita terhadap anak Firaun.

Thursday, March 10, 2011

Selamat Hari Lahir, Kak Long


Harap-harapnya belum terlambat untuk Uda ucapkan Selamat Hari Lahir untuk Kak Long yang uda sayang. Sekejap je rasanya masa berlalu. Dan sekarang usia Kak Long dah menginjak ke angka 37. Rasa baru semalam kita bergaduh sambil pusing-pusing meja. Rasa baru semalam ternampak-nampak Kak Long berlari-lari mengangkat kain di jemuran sedang Uda melompat-lompat di birai tingkap. Bagi semangat supaya Kak Long cepat-cepat angkat kain ketika hujan mula lebat. Pahit manis kenangan dengan Kak Long memang tak dapat Uda lupakan. Kak Long la kakak segalanya untuk Uda.

Ingat lagi masa Kak Long selalu tukar sekolah. Sekolah jauh-jauh sebab mak ayah nak Kak Long pandai. Tapi Kak Long selalu je balik semula sebab tak nak jauh-jauh dengan mak dan ayah. Kak Long sanggup berulang pagi-pagi buta supaya Kak Long masih ada masa untuk duduk dekat dengan mak. Bila habis sekolah, Kak Long kerja sementara di kilang. Seperti masa sekolah, Kak Long tak nak kerja jauh-jauh. Kak Long sanggup berulang dengan bas kilang seawal pagi. Lebih baik dari duduk di rumah sewa. Tak lama, Kak Long dapat kerja sebagai guru sandaran. Jauh. Kali ni di Keramat. Tiap minggu Kak Long balik naik bas dan tiap minggu juga ayah, mak dan kami semua naik kereta hantar Kak Long ke rumah sewa di Keramat.

Hampir lima tahun sebagai guru sandaran, baru Kak Long diserap menjadi guru tetap. Kak Long dah jadi Ustazah. Impian Kak Long tercapai dan ayah pun senang hati. Tak lama, Kak Long kahwin dengan Abang Long. Anak satu.... dua.... tiga.... Macam-macam cabaran yang Kak Long hadapi. Akhirnya Kak Long sekeluarga balik kampung sebab kesukaran hidup di kota. Tapi rezeki Kak Long memang melimpah-ruah. Walaupun hidup susah, ada sahaja jalan keluar yang Allah tunjuk untuk Kak Long. Puas juga Uda fikir kenapa. Sebab Uda tengok, Kak Long tetap mewah walaupun kadang-kadang Kak Long kata Kak Long tak ada duit sangat. Walaupun, kadang-kadang Uda tengok Kak Long susah hati dengan anak-anak.

Puas sudah Uda fikir kenapa Kak Long terus senang. Uda bukan dengki. Tapi Uda nak tau kenapa begitu. Baru hari ini, Uda terfikir, Allah sentiasa memelihara orang yang menjaga kedua ibu bapa mereka. Baru hari ini Uda tahu, Allah sentiasa lapangkan Kak Long sekeluarga sebab Kak Long tak pernah tinggal mengirim duit untuk mak dan ayah. Kak Long tak pernah lekang membelanjakan duit untuk mak dan ayah. Kak Long selalu buat mak tersenyum.

Adik, Usu, Acik dan Angah... inilah rasanya yang Allah nak tunjuk pada kita. Supaya kita tak lupa pada jasa mak dan ayah. Allah beri Kak Long pada kita sebab Allah nak kita sentiasa sedar dan tidak leka, bahawa syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Ayah pula adalah orangnya yang membanting tulang membesarkan kita semua.

Adik, Usu, Acik dan Angah.... marilah kita sama-sama minta pada Dia supaya hati kita juga jadi semulia Kak Long. Pengorbanan Kak Long pada kita adik-adiknya tidak seharusnya kita lupakan begitu sahaja. Kak Longlah tulang belakang keluarga kita. Pada Adik, Usu, Acik dan Angah, Uda harap kita terus bersatu agar kita tidak runtuh. Pada Kak Long, bimbinglah kami supaya jadi teguh dan kuat, sekuat kasih Kak Long pada mak dan ayah.

Untuk Kak Long yang Uda sayangi.... SELAMAT HARI LAHIR....

Wednesday, March 09, 2011

Sejarah solat lima waktu - ASAR


ASAR
Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus a.s tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah dari perut ikan Nun. Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu solat empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah daripada 4 kegelapan iaitu:
  1. Rakaat pertama: Kelam dengan kesalahan.
  2. Rakaat kedua: Kelam dengan air laut.
  3. Rakaat ketiga: Kelam dengan malam
  4. Rakaat keempat: Kelam dengan perut ikan Nun.
Jadi, jangan lupa pula hari ini untuk bersolat Asar... Biar sesibuk mana pun, ingatlah bahawa Dia tak pernah lupa pada hamba-Nya.... Jadi siapa kita untuk terlupa kepada Dia... :D

Tuesday, March 08, 2011

Sejarah solat lima waktu - ZOHOR


ZOHOR
Manusia pertama yang mengerjakan solat Zohor adalah Nabi Ibrahim iaitu tatkala Allah telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail. Seruan itu datang pada waktu tergelincir matahari lalu sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat.
  1. Rakaat pertama: Tanda bersyukur bagi penebusan
  2. Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.
  3. Rakaat ketiga: Tanda bersyukur dan memohon keredhaan Allah.
  4. Rakaat keempat: Tanda bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.
Sudahkah anda menunaikan solat Zohor? Eh... pagi lagi.... hehe.... jangan lupa solat Zohor yea...

Monday, March 07, 2011

Sejarah solat lima waktu - SUBUH


Dah lama sungguh mama nak kongsi sejarah solat lima waktu ini. Artikel ni dapat dari Tazkirah Edition terbitan PTAR UiTM. Edaran dalaman tahun 2007. Tapi dek kerana kesibukan, asyik terlupa nak dimasukkan semula ke sini. Meh kita ikuti sedikit sejarah tentang solat lima waktu yang dah difardhukan ke atas kita, orang Islam yang bertuah ni.......

Nabi Muhammad s.a.w. merupakan nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah untuk membimbing manusia ke arah jalan kebenaran. Tidak seperti umat nabi-nabi yang lain, umat nabi Muhammad telah diperintahkan untuk mengerjakan solat lima waktu setiap hari. Ini merupakan kelebihan dan anugerah Allah terhadap umat Nabi Muhammad di mana solat tersebut akan memberikan perlindungan ketika di hari pembalasan kelak. Berikut diterangkan asal-usul bagaimana setiap solat mula dikerjakan.

SUBUH
Manusia pertama yang mengerjakan solat subuh ialah Nabi Adam a.s. Ketika itu baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar subuh telah keluar. Nabi Adam a.s. pun solat dua rakaat.
  1. Rakaat pertama sebagai tanda bersyukur kerana baginda terlepas dari kegelapan malam.
  2. Rakaat kedua sebagai tanda bersyukur kerana siang telah menjelma.
Nanti esok mama sambung untuk waktu Zohor pulak yea.... hehehe... la ni mengejar waktu untuk masak makanan petang buat keluarga... Jumpa esok... :D

Sunday, March 06, 2011

Update bulan Mac

Memang lama betul rasanya tak kemaskini blog ni... Sibuk dengan macam-macam kerja sepanjang praktikum ni. Pernah sekali mama cuma tidur sejam je sebab nak kena siapkan tiga rancangan mengajar keesokan harinya... hahaha... memang macam separuh gila...

Dah lama merancang nak tulis macam-macam. Tapi macam biasa, bila berdepan dengan laptop ni, terus hilang idea. Hari ni cuma nak bangkitkan kisah bahaya anak comel mama, Cik Iman Maisarah yang bijak lagi pandai. Hari kejadian ialah pada Isnin lepas. Sarah dengan jayanya memotong wayar elektrik kipas kat ruang makan. Hmmm.... memang dua tiga das juga Sarah kena dengan mama sebab mama terkejut. Dengar bunyi pop masa mama tengah basuh pinggan. Lepas tu Sarah keluar dari bilik dan bagi mama gunting. Mama suruh Sarah bagi pada abah sebab tangan mama tengah basah. Masa tu la abah baru perasan... huhu.... Sarah tak tunjuk rasa takut. Cuma dia tahu dia bersalah. Tunduk je... Aduuuhai... Mujur juga gunting tu ada pemegang plastik. Kalau tak, mama pun takut nak bayang apa akan jadi... Alhamdulillah... umur Sarah masih panjang....