Sedih sebenarnya bila aku seringkali terbaca pernyataan ni di internet. Dan kadang-kadang, ia terpacul keluar dari mulut sahabat-sahabat.
"Kau tak apa la... cikgu. Cuti banyak. Kerja setengah hari aje... "
"Kau tak payah susah hati fikir pasal anak sebab cukup jam, kau dah boleh balik rumah dan ambil anak. Dah boleh duduk senang lenang dengan anak-anak. Aku ni lain la... kerja penuh. Masuk 8 balik 5."
"Cikgu ni banyak usul sangat. cuti dah banyak, kerja bukannya lapan jam, tapi minta yang bukan-bukan. Tak tahu bersyukur la depa ni..."
Banyak lagi ayat-ayat yang kadang-kadang bisa mengguris hati. Kata-kata yang keluar dari mereka yang tidak memahami apakah tugas seorang guru.
Guru dahulu lain. Guru dulu seronok mengajar dan mampu menjana pelbagai idea dan cara mengajar yang berbeza-beza untuk anak-anak didiknya supaya mereka seronok belajar. Supaya mereka jadi pandai, bijak dan berakhlak mulia. Mereka kurang dibebani dengan pelbagai kerja-kerja perkeranian yang turut mendambakan masa yang kadangkala bagai tak cukup-cukup. Itu yang kakak aku akui. Dia kata tahun 1996 dan 2011, terlalu banyak perubahan dalam sistem pendidikan. Guru sebagai pelaksana. Jadi, mahu tidak mahu, terpaksa ikut apa sahaja dasar yang ingin dijalankan.
Guru dahulu boleh dikatakan tidak terbeban dengan pelbagai karenah. Sebab itu, tugas utama mendidik dapat dilaksanakan dengan jayanya. Aku masih ingat lagi cerita suami aku tentang bapa mertua aku yang dahulunya seorang guru. Sehabis sekolah, dia masih lagi mampu berkebun. Pada aku, itu membayangkan kesenangan waktu dan santainya guru-guru dahulu menjalankan tugas. Sebab itu gaji guru dahulu tidak besar mana.
Tapi, guru sekarang, macam yang kakak aku ceritakan, terlalu banyak dugaan dan cabaran, malah rintangan dan masalah yang perlu dihadapi. Guru sekarang, dibebani dengan pelbagai tugas. Tugas yang dimaksudkan adalah perkeranian. Contohnya guru kelas bernama Nurul (aku ambil contoh guru sekolah rendah). Dia kena sediakan buku kedatangan, maklumat murid, maklumat kesihatan (berat, tinggi, penglihatan), keceriaan kelas, kebersihan kelas (ini setakat yang aku ingat). Ada yang perlu diselesaikan awal tahun, ada juga yang perlu dikemaskini setiap bulan.
Nurul juga selaku guru agama perlu memastikan yang buku ringkasannya siap pada waktunya (ini memang tugas hakiki), memastikan buku pafa sentiasa berisi, pelbagai borang yang perlu diisi dan dikemaskini. Kalau dalam panitia juga, Nurul terlibat dalam Kem Bestari Solat. Ada buku yang perlu dijaga. Menjalankan aktiviti panitia mengikut jadual tahunan. Nurul juga adalah guru penasihat Persatuan Pengakap. Maka dia perlu juga menyibukkan diri dalam hal kepengakapan. Nurul juga adalah ketua penasihat rumah Merah. Lebih berat bila dia perlu memastikan anak didiknya mengekalkan kejuaraan tahun lepas. Memilih peserta, membuat saringan, menyediakan peserta mewakili kawad rumah merah dan macam-macam lagi sempena hari sukan. Nurul juga (berapa banyak Nurul juga daaa....) adalah guru penasihat Persatuan Bola Jaring. Jadi Nurul perlu turun padang melatih pasukan bola jaring sekolah di samping melatih ahli-ahli baru persatuan tersebut.
Itulah antara tugas-tugas Nurul yang hampir kesemuanya perlu dijalankan secara serentak. Ada antara guru yang terpaksa membawa balik bebanan tugasan perkeranian ke rumah semata-mata bagi memastikan guru dapat menyiapkannya seperti yang diminta dan masih mampu mengajar sehabis baik untuk keesokan harinya. Kebanyakan tugas guru bersifat 'adhoc'. Suka buat kejutan. Jadi, mahu tak mahu, terpaksa disiapkan atau akan memberikan impak kepada orang lain pula. Mengisi data peperiksaan, menyemak kertas yang bukan calang-calang jumlahnya (cuba darabkan 35 pelajar x 5 kelas). Itu tak dikira lagi buku latihan (35 pelajar x 5 kelas), rekod PAFA, buku kem bestari solatnya, buat sesi tasmik selepas kelas dan macam-macam lagi.
Ada guru yang dah cukup cantik perancangan dia pada awal tahun. Namun, dek kerana kerja-kerja bersifat 'adhoc' ni, nak tak nak jadual kerja jadi tunggang langgang bila tiba dipertengahan. Apa yang boleh dilakukan, bawa balik kerja ke rumah. Masa yang ramai orang lihat sebagai separuh hari sebenarnya jadi penuh kerana bawa balik kerja di rumah. Tak masuk lagi kelas tambahan, latihan sukan, aktiviti kokurikulum, kem-kem dan ceramah segala bagai. Belum kira lagi hari Sabtu yang perlu dihadiri kerana LADAP (Latihan dalam perkhidmatan), kelas tambahan, menceriakan kelas, kelas ganti dan sebagainya. Semua perlu diuruskan oleh guru. Jadi, wajarlah kiranya jika guru-guru ini dibekalkan pula dengan pembantu guru untuk menjalankan kerja-kerja perkeranian. Dek kerana sibuk juga, ramai guru yang kadangkala terpaksa mengorbankan keluarga sendiri kerana mahu lihat anak bangsa berjaya.
Ada juga orang yang mengatakan bahawa jadi guru senang sebab cuti panjang dan banyak. Perlu diingatkan yang guru sebenarnya boleh dipanggil ke sekolah bila-bila masa sebab 1/3 dari cuti guru adalah bukan hak milik mereka. Waktu cuti sekolah juga ada guru-guru yang sibuk menjaga peperiksaan SPM dan STPM. Mereka ini mempunyai cuti yang amat terhad. Ada juga guru yang terlibat dengan kursus, dan macam-macam lagi. Ada tak ada, cuti hujung tahun adalah yang terbaik waktunya untuk guru berehat. Itu sahaja cuti yang guru ada. Berapa hari? Lebih kurang 40 hari sahaja. Ditolak dengan 1/3 tadi? Kira la sendiri ek. Jadi, cutinya sama juga dengan penjawat awam yang lain. Tentang cuti rehat khas sebanyak 7 hari setahun, tidak boleh diambil sesuka hati oleh guru. Perlu dipertimbangkan banyak hal terutamanya kelas yang diajar.
Peluang guru untuk naik pangkat juga tidak secerah penjawat awam yang lain dek kerana bilangan guru yang amat ramai iaitu seramai 282, 314 (moe.gov.my). Jadi, salahkah sekiranya guru meminta sedikit perhatian supaya golongan ini terbela?
Jadi cikgu dan mengertilah kenapa mereka memohon supaya dipertimbangkan banyak benda. Kerana, bila bergelar guru, bukan hanya jawatan guru yang disandang, tapi, dialah pendidik, jurutera, arkitek, jurulanskap, juruteknik komputer, doktor, polis, peguam, hakim, jururawat, tukang cuci, tukang sapu, tukang paip, tukang kebun, tukang..... hmmmm... banyak lagi kalau nak disenaraikan.
Sukar untuk bercerita pada orang yang tidak memahami dan mengalami pengalaman seorang guru. Bukan niat mengungkit segala pengorbanan dan tugas sebagai guru. Cuma, sekadar meminta mereka yang diluar sana memahami dan tidak merendah-rendahkan martabat guru. Tidak juga mengatakan guru tidak tahu bersyukur hanya kerana guru meminta supaya gaji dinaikkan dan sebagainya. Bukan guru tidak ikhlas mahu mendidik anak bangsa. Cuma, guru juga seperti manusia lain, mahukan diri mereka terbela. Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara.
5 comments:
ye... sangat setuju.
kadang2 rasa kesian pada anak2 yang tak berlayan bila terpaksa menyiapkan kerja di rumah... itu belum lagi 'gaduh' suami isteri (dua2 cikgu) gara2 berebut masa nak buat kerja sekolah...
bila posting?
hehehe...biase la tu...ni la dugaan nak jd guru...
panjg btol..bley buat sebagai pengalaman manis sepanjang hidup saya...
Sya: betul sya... dulu masa jd GSTT, suami dok gaduh pesal sy lak yg kena wat multimedia presentation utk 3K smp tak tido malam.... huhuhu.... sgt sadis dan takut bila dia sebut benda2 kata sy dok fokus keje je.... posting? denga2nya 16 september. What a record! hahaha.....
Fazil: mmg dugaan... kena selalu ingatkan diri utk sentiasa ikhlas dan perbaharui niat setiap kali nk ke sekolah. Supaya tiap tindakan kita di sekolah kerna Dia.
Pokja: sesekali menulis bila idea menjelma... tu la hasilnya... :)
Semua pnjawat awam yg lain pun byk lg cbran..kena luaskan mnda
Post a Comment