Aktiviti hari ni berjaya. Jadi, teringin rasa nak berkongsi pengalaman ni. Dictation atau imlak adalah satu aktiviti yang boleh digunakan untuk subjek bahasa tak kira BM, BI, BT, BC atau seumpama dengannya. Aktiviti ni mengajar murid cara untuk mengeja dan menulis tanda baca dengan betul. Yang penting, arahan yang betul perlu diberikan sebelum memulakan permainan tersebut.
Saya namakan permainan ini BACA dan TULIS. Untuk kelas tahun 3 tadi, saya bahagikan murid secara berpasangan. A dan B. Saya asingkan tempat mereka, A dan B. Kemudian saya berikan arahan secara jelas siap dengan contoh. Perhatikan semua murid faham dengan penerangan yang diberi. Jika tidak faham, ulang dengan demo sekali lagi. Nanti kalau ada yang tak faham masa buat aktiviti, haru weh! Sebab cikgu boleh naik darah ada murid yang dah buat setengah jalan dan ada juga yang terkial-kial sebab tak faham.
Bahagian A membaca dan bahagian B menulis. Murid A perlu baca di meja mereka. Kemudian pergi ke Murid B dan suruh murid B tulis apa yang murid A baca tadi. Pastikan murid A arahkan rakannya untuk menekankan tanda baca dengan betul. Contoh, jika murid A baca "Hari ini Abu pergi ke pasar", suruh murid A arahkan rakannya B tulis begini, "Hari ini.... h tu huruf besar. A tu huruf kecil, r, i jarak.... i, n, i....:. Jadi, murid akan tahu untuk menulis dengan betul. Suruh juga murid A untuk semak semula setelah habis rakannya menulis. Pastikan ejaan dan tanda bacanya betul. Kemudian, setelah semua siap, tukar giliran. Kali ini B baca dan A tulis. Tulis ayat yang berbeza.
Untuk kelas satu jam, JANGAN berikan ayat yang panjang. Serangkap pantun 4 kerat yang mana A tulis dua baris dan B tulis dua baris sudah mencukupi. Sekiranya murid sudah biasa dengan aktiviti ini, maka ia akan jadi lebih mudah kerana arahan tidak lagi meleret-leret panjang sehingga dua tiga kali demo. Beritahu secara lisan dan murid sudah faham.
Aktiviti ini MEMANG BISING. Ini kerana murid akan bergerak ke sana sini dan bising membacakan ayatnya kepada rakan. Jadi, pastikan guru mampu mengawal kelas dengan baik. Jika hendak buat di luar bilik darjah, pastikan peralatan menulis mereka lengkap dibawa sekali dengan buku teks yang mengandungi ayat yang hendak dibaca berserta alat tulis. Murid akan seronok sambil belajar mengeja dan menulis ayat dengan tanda baca yang betul.
Permainan ini boleh juga dibuat dalam kumpulan yang besar iaitu 4 - 5 orang satu kumpulan. Guru boleh memberi setiap ahli kumpulan dengan nombor atau warna. Contohnya, setiap ahli kumpulan ada gelang getah berwarna biru, merah, putih, hijau dan kuning. Caranya masih sama. Cuma yang membaca ada seorang dan selebihnya menulis. Untuk bilangan yang ramai, guru hanya perlu menyuruh mereka membaca tiga perkataan sahaja atau mungkin satu baris yang mengandungi satu ayat mudah yang lengkap. Ambil giliran masing-masing.
Pada saya, permainan ini sangat menarik dan murid mengikuti aktiviti ini dengan seronok. Saya rasa permainan ini akan diulang semula untuk masa akan datang. Ia juga satu permainan yang sesuai dimainkan ketika kelas ganti. CIkgu.... Selamat mencuba... :D
1 comment:
Thanks utk sharing idea...cikgu.. saya pun tgh mula nak ajar budak buat imlak ^_^
Post a Comment