Sunday, February 05, 2012

Dia pergi jua...

Kuniya masa kenduri kahwin Zul dan Pah

Innalillahi wa innailaihi rajiun.. Kuniya dah tak ada. Siapa Kuniya? Kucing kesayangan yang aku dah bela selama hampir 8 tahun. Aku bela dulu dengan kakak dia, Kino. Tapi kawan aku ambil Kino masa dia berusia 2 tahun lebih. Bawa ke Muadzam Shah. Aku kasikan Kuniya masa dia pindah dari KL ke rumah mak kat Telok Panglima. Masa tu Kuniya suka sangat ikut mak aku pergi masjid. Jadi ramai yang dok kata Kuniya suka kencing merata-rata kat masjid. Untuk kebaikan semua, aku kasikan dia. Kuniya sempat tinggalkan seekor warisnya, Domok yang sangat comel dan berbulu lebat. Tapi Domok mati lebih dulu dari Kuniya. 

Domok

Kisah Kuniya dengan aku bermula masa tahun 2004 bila Rin ambil dua ekor kucing comel dari klinik haiwan berhampiran tempat dia bekerja. Masa tu aku tinggal di rumah flat di Taman Melati. Dekat dengan stesen LRT Taman Melati. Bila Rin bawa balik, dia namakan kedua-duanya dengan Kino dan Kuniya sebab aku dulu kerja kat kedai buku tersohor kat KLCC, Kinokuniya. Kino agak galak sikit. Berani. Tapi Kuniya penakut. Masa mula-mula sampai di rumah, dia akan lari ketakutan tiap kali dengar bunyi LRT lalu. Ambil masa yang agak panjang untuk dia sesuaikan diri. Tapi Kuniya sangat manja berbanding Kino. Kuniya suka tidur celah ketiak aku. Alhamdulillah, mereka ni kami latih untuk buang air besar dan kecil di pasir mereka. Dan keadaan rumah memang sentiasa bersih. Ada beberapa kali mereka ni terlepas. Kuniya pernah hilang beberapa hari. Aku jadi sangat sedih. 

Hampir seminggu dia hilang, satu hari, balik dari kerja, aku saja panggil-panggil nama dia kat tingkat bawah. Tiba-tiba aku dengar bunyi kucing mengiau kuat. Bila aku berhenti panggil, bunyi tu senyap. Bila aku panggil semula, kucing tu berbunyi lagi. Seronok sangat bila aku ternampak Kuniya kat tingkat 2 bangunan flat rumah aku tu. Berlarian aku pergi ambil Kuniya dan bawa dia balik rumah. Lepas tu, Kuniya dah tak hilang dah. Lepas kahwin pindah ke rumah mak, aku bawa Kino dan Kuniya sekali balik kampung. Kuniya memang manja. Tak pernah makan nasi dan ikan. Selama hidup dia, dia cuma makan biskut je. Dia tak pernah menyelongkar dapur walaupun ada ikan atas meja. Semakin tua, Kuniya jadi macam semakin pelupa. Setiap sejam dia mengiau minta makan. Kadang-kadang dia baru je makan, tapi bila nampak Sham ke, aku ke, dia minta lagi. Kuniya suka lepak dalam bilik Sham atau bawah katil bilik Abg Hir. Tiap pagi kata Pah, Kuniya akan mengiau depan pintu bilik Sham. Suruh bangun solat agaknya. hehehhe..... Tiap kali dia nampak aku balik ke rumah mak, Kuniya mesti nak duduk atas pangkuan aku. Tapi semenjak mengandung ni dia cuma baring tepi aku je sebab tak muat nak duduk atas pangku. Perut makin besar. :D

Masa dia umur 4 tahun, Kuniya dapat sakit mulut. Mulutnya jadi busuk dan masa tu aku tak tau sebab apa. Aku hantar ke Pusat Haiwan di Sijangkang dan doktor haiwan (rupanya kat situ cuma ada seorang je doktor haiwan. Orang yang aku sangka doktor tu hanya pembantu doktor haiwan sahaja) situ kata dah tak boleh buat apa pada Kuniya sebab dia pun dah tua. Jadi, aku tak ada cara untuk rawat Kuniya. Terbiarlah Kuniya dengan sakit mulutnya tu sehingga akhir hayat. Sebenarnya, sakit dia ada ubat. Masa aku hantar Tempang ke Hospital Haiwan kat Banting dulu, Doktor Kumar kata boleh dirawat. Kena buat teeth trimming. Sebab gigi taring dia terlalu panjang dan menyebabkan mulutnya luka dek taringnya. Aku memang berazam nak hantar. Tapi memandangkan kos rawatan sekitar RM150, aku tangguhkan dulu sebab kena bagi bajet pada Tempang yang tak baik-baik lagi kakinya. 

Memang dah Allah takdirkan Kuniya tak sempat terima rawatan tu. Hari Khamis (2/2/2012) lepas, Kuniya mengiau garang. Dia nampak sangat sakit. Dia duduk depan tandas. Aku usap kepala dia. Hari Jumaat, mak kata dah tak nampak dia. Mungkin dia dah nak mati masa tu. Orang kata kucing kalau nak mati dia hilang dan tak bagi tuan dia nampak dia mati. Hari Sabtu pagi sebelum pergi kelas tambahan tu, mak cerita kat aku yang sofa di luar tu ada darah Kuniya. Agaknya dia dah mati kot. Petang Sabtu, mak pergi ronda depan rumah dan nampak Kuniya terbaring bawah pokok mata kucing. Mak kata Kuniya dah mati. Aku bergegas pergi tengok. Apa yang aku nampak, Kuniya masih hidup dan dia mengiau kuat bila nampak aku. Sebak sungguh rasa tengok keadaan dia mas tu. Sangat lemah dan kepala dia dihurung beberapa ekor langau. Tak sanggup tengok keadaan dia, aku bawa Kuniya ke Hospital Haiwan di Banting. Mr. Hubby jadi driver. Sarah dan Syaza pun ikut sama. 

Kat sana, doktor cuba juga nak selamatkan Kuniya. Dia nak bagi Kuniya air glukos untuk tenaga. Kuniya memang sangat lemah masa tu. Badan dia juga dah sejuk. Tapi dia masih mengiau. Mungkin sakit kot. Masa doktor tengok 'pesakit' yang baru datang, aku belek-belek Kuniya dengan pembantu dia. Ada benda putih yang mulanya aku sangkakan adalah debunga. Tapi belek punya belek, rupa-rupanya 'debunga' tu adalah telur lalat. Ada banyak sangat kat kepala Kuniya. Ada yang dah kering. Ada yang masih basah. Bila doktor tahu, dia terus belek dan tunjuk pada aku ulat yang sudah mula ada dalam mulut Kuniya yang berdarah. Sebak sungguh rasanya tengok Kuniya masa tu. Aku tanya doktor banyak kali boleh ke nak selamatkan dia. Doktor bagi pendapat yang kalau Kuniya dah bertenaga sikit pun, dia mungkin akan menghadapi masalah lain. Telur lalat tu dah masuk ke telinga. Nanti nak kena bersihkan mulut dia yang pastinya berisiko sebab dia akan gigit balik. Dalam keadaan aku yang sedang sarat ni, tentu payah nak uruskan Kuniya. Bimbang juga kiranya telur lalat tu menetas dalam badan Kuniya dan memberi lebih masalah. Pada dia, 'put him to sleep' lebih baik. Dari sudut kemanusiaan, dia takkan lebih terseksa. Aku diam terdengar. Aku pandang Mr. Hubby dan tanya pendapat. 

Hati jadi tak keruan nak beri keputusan. Aku sayangkan KUniya sangat-sangat walaupun dia macam tu. Kuniya hadiah untuk aku dari bekas teman baik aku. Put him to sleep was not under my intention at all. Aku dah bela Kuniya selama 8 tahun. Menghadapi macam-macam karenah dia. Takkan aku tak nak bersusah jaga dia... Tapi bila fikir balik, aku tak mampu nak menghadapi Kuniya, rawat dan belai dia dalam keadaan macam ni (walau dulu aku pernah bela Quaid, kucing yang lumpuh tak boleh bangun langsung untuk sebulan sebab kemalangan. Tapi Quaid juga mati akhirnya). Berat hati sebab aku terpaksa bersetuju dengan saranan doktor. Euthanasia adalah jalan terakhir. Aku tanyakan doktor whether Kuniya would struggle for his death. Dia kata tak. Dia akan bius sebelum masukkan ubat direct to his lung. Aku akhirnya terpaksa bersetuju to put him to sleep. Kat luar bilik rawatan aku menangis semahunya. Sedih yang amat sebab terpaksa menamatkan riwayat Kuniya. Macam-macam gelagat Kuniya yang terngiang-ngiang dalam kepala masa aku tengok Kuniya dari luar bilik rawatan. Mula aku dengar dia mengiau masa doktor suntik ubat bius. Lepas tu perlahan aku nampak Kuniya semakin mamai dan lepas tu terus tertidur. Kemudian doktor datang dan suntik ubat terus ke jantung. Tak lama aku tengok doktor guna stetoskop untuk dengar jantung. Lepas 10 minit, dia panggil dan bagitau aku yang semua dah selesai. Berderai lagi air mata aku. Doctor Kumar gave me a box and he put Kuniya in the box. 

All the way home I was crying. Syaza peluk aku dan tanya kenapa aku sedih. 

"Mama rindu Kuniya yea? Kuniya dah tak ada?" Aku cuma senyum je sambil paut kepala dia.

Sempat juga bertanya pada Syaza. "Kak Ngah tak sedih ke Kuniya dah mati?"

Selamba dia jawab, "Tak"...

Sarah banyak diam sepanjang perjalanan balik. Sampai rumah mak, aku solat Asar. Bila nak tengok Kuniya, tak sempat sebab ayah dah tanam dia kat kebun belakang. Sampai la ni aku masih terasa-rasa dan teringat-ingatkan dia. Rasa tak seronok sebab aku ambil keputusan mempercepatkan kematian Kuniya. Rasa sedikit bersalah dan terkilan sebab aku tan sempat bawa Kuniya untuk rawatan gigi dia. Apapun, aku terima setiap yang hidup pasti mati. Setelah 8 tahun bersama Kuniya, dia pergi juga akhirnya....

No comments: