Setiba kita di batas masa
Nobat dan nafiri tiada bernada
Sehelai daun kering berayunan layu
Menanti saat di bawa bayu
Langit mendung hujan pun gerimis
Sayup terdengar sendu dan tangis
Bertitian bisikan kalimah nan suci
Berdoa mudahkan perjalanan terakhir ini
Berat mata memandang
berat lagi tanggungan bebanan perasaan
kendatipun sezarah disa pahala pastikan dikira
bagai terasa kezarahan dijiwamu
bagai terdengar suara meruntun kalbu
tiada walau sesaga dibawa pergi
tak berharga puja dan puji
kala jantungmu bagai laut bergelombang
lemah cengkaman jejarimu digenggaman
betapa sukar untuk kita menerima
tiba detik pasti terpisah
di batas masa.
Di batas masa – Siti Nurhaliza
Tengah seronok melayan game, aku alunkan MP3 player. Saja aku mainkan lagu Siti. Lama tak dengar semenjak aku berpindah rumah tiga bulan lepas. Lagu-lagu Siti banyak bawa nostalgia hidup zaman bujang aku. Cinta tak kesampaian la, suka duka kehidupan aku, kisah persahabatan aku dengan Rin. Mmm…. Kalau aku susun satu-satu lagu Siti ni, boleh buat cerita. Aku dengan Rin memang cukup gemar lagu-lagu Siti. Terutama lagu tradisional. Dan lagu ni betul-betul menyentuh hati aku tiap kali aku dengar. Tak terkecuali kali ini.
Berlinang air mata bila mendengarnya. Teringat arwah bapak Rin yang tak berapa kali aku jumpa, tapi cukup untuk mengimbas betapa mesranya dan uniknya Pakcik Masdar. Aku ingat lagi bila Rin kata kat aku yang bapak dia kata aku ni brutal. Sebabnya ? Dia tengok aku selamba je kat rumah dia. Wat cam rumah sendiri. Hehehe…. Memang aku begitu. Tak pernah tinggal sikap tomboy aku. Biarpun dah berkahwin tika ini.
Dan seperkara yang aku ingat pasal Pakcik Masdar ni masa aku pergi rumah Rin. Lepas makan tengahari, dia berbaring atas katil, dekat dengan meja makan. Dia pakai topi keledar sambil baring. Dan bila Rin tegur, dia sekadar menjawab untuk keselamatan sebab bahaya tak mengira waktu. Ketawa aku melihatnya. Sikapnya yang selamba dalam berlucu. Dan ada benar juga kata-katanya. Sungguh ! Jarang aku kenali lelaki bergelar ayah seperti dia. Dia bukan seorang peramah yang sentiasa bercerita dan bertanya itu ini. Dia yang aku kenal seorang yang pendiam dan bersuara jika perlu. Namun dia ramah dengan gelagatnya bersama anak-anak (dan aku kira, aku sebahagian dari mereka walaupun tak berapa kali je aku jumpa dia).
Aku mengenali Pakcik Masdar melalui cerita Rin mengenainya. Dia, seorang yang unik, tegas, dan bijak dalam diam. Banyak lagi sifat dia yang sukar aku ungkapkan dengan kata-kata. Bukan ingin membanding, tetapi, aku rasakan dia lebih sifat kebapaan dari ayah aku sendiri.
Tak aku sangka, Pakcik Masdar yang banyak berkorban membesarkan anak-anaknya tidak sempat melihat kejayaan demi kejayaan yang mereka kecapi. Sekitar awal tahun 2000 (aku terlupa sama ada tahun 2000 atau 2001), keluarga beliau ditimpa dugaan besar bila Pakcik Masdar diserang sakit secara tiba-tiba. Dia, seorang pemandu lori yang gagah akhirnya terpaksa mengaku kalah bila satu hari dia tiba-tiba tidak boleh bangun. Dia disahkan menghidap kanser. Kanser tulang kalau aku tak silap. Dan pada hari itu, dia menangis. Tangisan yang cukup membuatkan hati Makcik Jah, (isterinya) tersentuh. Dan cerita tangisan itu aku ingat hingga kini. Itulah tangisan terakhir dia, sebulan sebelum dia meninggal. Mungkin dia merasakan tika itu hayatnya tidak panjang.
Pakcik Masdar terlantar di hospital hampir sebulan hingga akhir hayatnya. Dia tidak sempat menatap wajah anak-anak yang lain tika pemergiannya. Rin yang kebetulan berasa malas sgt nak pergi kerja (dia menjalani latihan praktikal tika itu), dikejutkan dengan berita ayahnya sedang nazak di hospital. Kami bergegas pulang dan hanya sampai di Ipoh dalam pukul 2. Sepantas tiba, Rin menelefon Kak Nini. Sebaik melihat wajah Rin yang nampak kecewa, aku terasa sangat sebak sebab aku tau, Pakcik Masdar dah takde.
Terbayang aku pedihnya dia menanggung segala perit seksa kesakitan yang tiada ubatnya itu. Terbayang aku tika dia di sakaratul maut. Bukan senang melalui saat itu. Cukup getir. Cerita dia menghadapi saat akhir sukar untuk aku terima dan bayangkan. Layanan yang diterima dengan kaki tangan berikat…. Hmmmm….. payah untuk aku gambarkan.
Sesampai di rumah Rin, dah ramai orang menunggu. Bacaan yasin memenuhi ruang. Dan lebih terasa pedihnya bila aku lihat Asri, adik bongsu Rin memeluk kaki arwah dan diam di situ. (Asri ketika itu berusia dalam lingkungan 10 tahun kalau aku tak silap. Dia, kanak-kanak istimewa yang menghidap hyper active syndrome). Sedihnya kerana dia bagai payah mengerti kenapa Pakcik Masdar kaku tidak memeluknya seperti selalu.
Aku kira aku yang kalah dengan perasaan. Aku yang menjadi pemerhati mereka (ahli keluarga arwah Pakcik Masdar) yang tabah menjadikan aku lekas sebak. Malam itu, kami bergilir-gilir menghabiskan al-Quran. Hampir limatahun, cepatnya masa berlalu. Rin sendiri (dan aku juga) insyaallah bakal bergelar ibu. Tapi, kenangan Pakcik Masdar masih terpaut kuat dalam ingatan (dan aku kira ahli keluargnya juga). Dan lagu ini tambah mengukuhkan ingatan aku padanya. Bait-bait kata-kata Siti “betapa sukar untuk kita menerima, tiba detik pasti terpisah, di batas masa” membenarkan kenyataan hidup. Setiap yang hidup akan merasa mati. al-Fatihah untuk Pakcik Masdar. Moga rohnya dicucuri rahmat. Amin.