Sunday, July 31, 2011

Bulan Ramadhan


Alhamdulillah, hari ni hari pertama berpuasa. Buat masa ni mama masih berpuasa lagi. Takde apa masalah. Semalam mama jumpa Dr Khiriah. Alhamdulillah, baby ok. dah sebesar 4.5 cm. Sangat aktif. Kak Long and Kak Ngah pun nampak adik bergerak-gerak dalam perut mama.

Kesihatan mama pun alhamdulillah semakin baik. Mama masih loya-loya dan rasa nak muntah. Masih lagi alah pada bau masakan. Tapi, mama dah boleh nak makan walaupun berat mama menurun. Semalam timbang, berat mama 56kg. Kira hampir balik ke berat asal sebelum mama mengandung dan naik berat badan.

Mama cuma risaukan waktu sahur esok pagi dan hari-hari seterusnya. Siapa yang nak masak yea? Abah ke? hehehe... sebab mama tak mampu nak cium bau goreng-goreng dan tumis-tumis ni... Aduuhai...

Thursday, July 28, 2011

Cikgu yang tak tahu bersyukur....

Sedih sebenarnya bila aku seringkali terbaca pernyataan ni di internet. Dan kadang-kadang, ia terpacul keluar dari mulut sahabat-sahabat.

"Kau tak apa la... cikgu. Cuti banyak. Kerja setengah hari aje... "

"Kau tak payah susah hati fikir pasal anak sebab cukup jam, kau dah boleh balik rumah dan ambil anak. Dah boleh duduk senang lenang dengan anak-anak. Aku ni lain la... kerja penuh. Masuk 8 balik 5."

"Cikgu ni banyak usul sangat. cuti dah banyak, kerja bukannya lapan jam, tapi minta yang bukan-bukan. Tak tahu bersyukur la depa ni..."

Banyak lagi ayat-ayat yang kadang-kadang bisa mengguris hati. Kata-kata yang keluar dari mereka yang tidak memahami apakah tugas seorang guru.

Guru dahulu lain. Guru dulu seronok mengajar dan mampu menjana pelbagai idea dan cara mengajar yang berbeza-beza untuk anak-anak didiknya supaya mereka seronok belajar. Supaya mereka jadi pandai, bijak dan berakhlak mulia. Mereka kurang dibebani dengan pelbagai kerja-kerja perkeranian yang turut mendambakan masa yang kadangkala bagai tak cukup-cukup. Itu yang kakak aku akui. Dia kata tahun 1996 dan 2011, terlalu banyak perubahan dalam sistem pendidikan. Guru sebagai pelaksana. Jadi, mahu tidak mahu, terpaksa ikut apa sahaja dasar yang ingin dijalankan.

Guru dahulu boleh dikatakan tidak terbeban dengan pelbagai karenah. Sebab itu, tugas utama mendidik dapat dilaksanakan dengan jayanya. Aku masih ingat lagi cerita suami aku tentang bapa mertua aku yang dahulunya seorang guru. Sehabis sekolah, dia masih lagi mampu berkebun. Pada aku, itu membayangkan kesenangan waktu dan santainya guru-guru dahulu menjalankan tugas. Sebab itu gaji guru dahulu tidak besar mana.

Tapi, guru sekarang, macam yang kakak aku ceritakan, terlalu banyak dugaan dan cabaran, malah rintangan dan masalah yang perlu dihadapi. Guru sekarang, dibebani dengan pelbagai tugas. Tugas yang dimaksudkan adalah perkeranian. Contohnya guru kelas bernama Nurul (aku ambil contoh guru sekolah rendah). Dia kena sediakan buku kedatangan, maklumat murid, maklumat kesihatan (berat, tinggi, penglihatan), keceriaan kelas, kebersihan kelas (ini setakat yang aku ingat). Ada yang perlu diselesaikan awal tahun, ada juga yang perlu dikemaskini setiap bulan.

Nurul juga selaku guru agama perlu memastikan yang buku ringkasannya siap pada waktunya (ini memang tugas hakiki), memastikan buku pafa sentiasa berisi, pelbagai borang yang perlu diisi dan dikemaskini. Kalau dalam panitia juga, Nurul terlibat dalam Kem Bestari Solat. Ada buku yang perlu dijaga. Menjalankan aktiviti panitia mengikut jadual tahunan. Nurul juga adalah guru penasihat Persatuan Pengakap. Maka dia perlu juga menyibukkan diri dalam hal kepengakapan. Nurul juga adalah ketua penasihat rumah Merah. Lebih berat bila dia perlu memastikan anak didiknya mengekalkan kejuaraan tahun lepas. Memilih peserta, membuat saringan, menyediakan peserta mewakili kawad rumah merah dan macam-macam lagi sempena hari sukan. Nurul juga (berapa banyak Nurul juga daaa....) adalah guru penasihat Persatuan Bola Jaring. Jadi Nurul perlu turun padang melatih pasukan bola jaring sekolah di samping melatih ahli-ahli baru persatuan tersebut.

Itulah antara tugas-tugas Nurul yang hampir kesemuanya perlu dijalankan secara serentak. Ada antara guru yang terpaksa membawa balik bebanan tugasan perkeranian ke rumah semata-mata bagi memastikan guru dapat menyiapkannya seperti yang diminta dan masih mampu mengajar sehabis baik untuk keesokan harinya. Kebanyakan tugas guru bersifat 'adhoc'. Suka buat kejutan. Jadi, mahu tak mahu, terpaksa disiapkan atau akan memberikan impak kepada orang lain pula. Mengisi data peperiksaan, menyemak kertas yang bukan calang-calang jumlahnya (cuba darabkan 35 pelajar x 5 kelas). Itu tak dikira lagi buku latihan (35 pelajar x 5 kelas), rekod PAFA, buku kem bestari solatnya, buat sesi tasmik selepas kelas dan macam-macam lagi.

Ada guru yang dah cukup cantik perancangan dia pada awal tahun. Namun, dek kerana kerja-kerja bersifat 'adhoc' ni, nak tak nak jadual kerja jadi tunggang langgang bila tiba dipertengahan. Apa yang boleh dilakukan, bawa balik kerja ke rumah. Masa yang ramai orang lihat sebagai separuh hari sebenarnya jadi penuh kerana bawa balik kerja di rumah. Tak masuk lagi kelas tambahan, latihan sukan, aktiviti kokurikulum, kem-kem dan ceramah segala bagai. Belum kira lagi hari Sabtu yang perlu dihadiri kerana LADAP (Latihan dalam perkhidmatan), kelas tambahan, menceriakan kelas, kelas ganti dan sebagainya. Semua perlu diuruskan oleh guru. Jadi, wajarlah kiranya jika guru-guru ini dibekalkan pula dengan pembantu guru untuk menjalankan kerja-kerja perkeranian. Dek kerana sibuk juga, ramai guru yang kadangkala terpaksa mengorbankan keluarga sendiri kerana mahu lihat anak bangsa berjaya.

Ada juga orang yang mengatakan bahawa jadi guru senang sebab cuti panjang dan banyak. Perlu diingatkan yang guru sebenarnya boleh dipanggil ke sekolah bila-bila masa sebab 1/3 dari cuti guru adalah bukan hak milik mereka. Waktu cuti sekolah juga ada guru-guru yang sibuk menjaga peperiksaan SPM dan STPM. Mereka ini mempunyai cuti yang amat terhad. Ada juga guru yang terlibat dengan kursus, dan macam-macam lagi. Ada tak ada, cuti hujung tahun adalah yang terbaik waktunya untuk guru berehat. Itu sahaja cuti yang guru ada. Berapa hari? Lebih kurang 40 hari sahaja. Ditolak dengan 1/3 tadi? Kira la sendiri ek. Jadi, cutinya sama juga dengan penjawat awam yang lain. Tentang cuti rehat khas sebanyak 7 hari setahun, tidak boleh diambil sesuka hati oleh guru. Perlu dipertimbangkan banyak hal terutamanya kelas yang diajar.

Peluang guru untuk naik pangkat juga tidak secerah penjawat awam yang lain dek kerana bilangan guru yang amat ramai iaitu seramai 282, 314 (moe.gov.my). Jadi, salahkah sekiranya guru meminta sedikit perhatian supaya golongan ini terbela?




Jadi cikgu dan mengertilah kenapa mereka memohon supaya dipertimbangkan banyak benda. Kerana, bila bergelar guru, bukan hanya jawatan guru yang disandang, tapi, dialah pendidik, jurutera, arkitek, jurulanskap, juruteknik komputer, doktor, polis, peguam, hakim, jururawat, tukang cuci, tukang sapu, tukang paip, tukang kebun, tukang..... hmmmm... banyak lagi kalau nak disenaraikan.

Sukar untuk bercerita pada orang yang tidak memahami dan mengalami pengalaman seorang guru. Bukan niat mengungkit segala pengorbanan dan tugas sebagai guru. Cuma, sekadar meminta mereka yang diluar sana memahami dan tidak merendah-rendahkan martabat guru. Tidak juga mengatakan guru tidak tahu bersyukur hanya kerana guru meminta supaya gaji dinaikkan dan sebagainya. Bukan guru tidak ikhlas mahu mendidik anak bangsa. Cuma, guru juga seperti manusia lain, mahukan diri mereka terbela. Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara.

Wednesday, July 20, 2011

Adik tak ada tangan...

Lokasi: Ruang tamu

Syaza: Mama, olong uaptan geng isang (Mama, tolong suapkan goreng pisang).
Mama: Ait, tadi boleh makan sendiri. Suap la sendiri. Tangan Angah mana?
Syaza: Angan Adik tak ada. Mama ada angan. Tu angan mama (Tangan Adik tak ada. Mama ada tangan. Tu tangan mama).

Huaaa... mana la comel mama ni dapat idea nak tarik perhatian mama suruh suap dia makan. Time cuti ni la mama layan awak ek. Sok kalu mama dah sibuk dengan sekolah, tak tau lagi macamana. Mama harap mama masih ada masa yang berkualiti untuk anak-anak mama nanti.

Dan Syaza, sambil mama menaip tulisan mama hari ni, masih sempat berdiri di belakang mama dan urut bahu mama. Hmmm... pandainya dia ambil hati. :D

Tuesday, July 19, 2011

Rasa lapar...


Pagi ni mama cuma sarapan 4 sudu besar nasi lemak. Bila nak masuk yang kelima, mama dah mula rasa mual dan loya. Jadi mama berhenti makan. Sebab tu la mama jadi lemah dan tak bermaya. Tapi mama tak mampu nak buat apa pun. Memang selera makan mama tak ada. Sebut la apa jenis makanan pun. Hatta makanan barat yang sebelum ni memang jadi kegemaran mama pun mama tak lalu. Mama akan cuba juga untuk terus makan. Walaupun mama rasa nak muntah setiap kali makan. Tapi mama tau mama kena kuat supaya mama dapat jaga anak-anak mama dan abah. Lagipun dalam keadaan ekonomi yang sedang gawat ni, mama kena pastikan mama sentiasa sihat dan tak tersadai di katil hospital. Nanti lagi susah.

Pasal ginseng yang mama beli semalam, mama tak lalu sungguh nak minum airnya. Bau kayu yang sangat kuat buat mama rasa mual. Padan la masa mama nak juga ginseng tu, nyonya tu buat muka bila mama tolak cadangan dia untuk makan vitamin B. Padan muka mama. Hahahah... takpe. Mama takut nak beli semalam sebab tak pasti tentang kandungannya. Nanti mama akan cari yang betul-betul sahih kehalalannya. Ok. Mama nak pergi beli lauk (One of the critical moments for me every day. huhuhu.....)

Masih tak bertenaga


Minggu ni dah minggu ke sembilan. Tapi mama masih tak bertenaga. Kebanyakan masa mama terbaring dan tidur. Tak sanggup rasanya nak berdepan dengan rasa mual dan loya. Makan pun memang tak lalu. Bila makan berminyak dan pedas-pedas, maka makan laju-laju. Dan lepas tu, mama akan rasa mual dan nak muntah. Jenuh juga menahan rasa sebab mama tak mau lapar lagi. Mama memang tak ada selera langsung nak makan apa pun. Teringat apapun nak muntah. Sampai kalau tengok rancangan Indon pun rasa nak muntah. Aduss...

Tidak ada apa yang boleh buat mama rasa ok. Keluar rumah pun mama rimas sebab mama rasa macam renyang dan merengit panasnya. Pakai baju lengan panjang pun sebab terpaksa. Minggu lepas mama tinggalkan Kak Long dan Kak Ngah di rumah mama Ja. Selain ada sedikit kerja, mama tak sanggup tengok anak mama berlapar di rumah. Setiap kali sekarang ni, bila tiba waktu makan hati mama jadi gusar. Tak tau nak makan apa sebab mama rasa setiap makanan itu tidak menyelerakan. Sudahnya, mama makan sekadar perlu je. Jarang sampai kenyang.

Tadi mama beli akar ginseng kat kedai sinseh. Tak tau la ok ke tak. Dia cadang mama makan vitamin B. Tapi mama kurang yakin nak beli sebab takut tak halal. Jadi, mama beli je akar ginseng tu. Ummi kata, dulu mama makan ok. Entah la. Mama nak cuba lagi. Tadi dah rendam. Lepas ni nanti mama minum. Memang kali ni menguji mama. Mama rasa rimas sebab banyak rutin mama tak dapat mama selesaikan. Mengemas, membasuh, melipat dan banyak lagi yang terpaksa mama hentikan buat masa ni.

Alhamdulillah, abah banyak membantu mama. Semua kerja rumah abah ambil alih. Kadang-kadang abah masak untuk kita sekeluarga. Mama rasa sangat terharu dengan pengorbanan abah. Terima kasih tak terhingga pada abah sebab memahami keadaan mama. Moga mama cepat-cepat sembuh. Lepas ni boleh la mama jalani rutin harian biasa. Lebih-lebih lagi kalau dah mula mengajar nanti.

Tuesday, July 12, 2011

M.A.L.A.S

Nak kemas kini blog. Tapi tahap kemalasan sangat tinggi. Saya jadi kosong dan tidak ada cerita yang saya boleh tulis. Maaf kepada yang rajin jenguk blog saya yang tidak dikemaskini ini. Saya rasa serabut. Nanti kalau rasa serabut saya hilang, saya kemas kini blog saya ye. Cuma, saya rasa geram sebab kipas angin ruang tamu saya tidak berfungsi secara tiba-tiba.

Eh... apa yang aku merepek nih? Huhu...

Tuesday, July 05, 2011

Penempatan mengajar

Alhamdulillah, dah lebih 39 hari aku tamat kursus perguruan selepas menjalani kursus tu dari 28 Jun 2010 hingga 27 Mei 2011. Sekarang ni tengah menunggu-nunggu penempatan. Rasa macam main-main pun ada. Hehehe... bukan apa. Selama ni, aku cuma guru sandaran. Tempoh perkhidmatan tertakluk pada keperluan dan kontrak selama setahun. Jadi, setiap tahun, akan berpindah ke sekolah baru. Hampir tiga tahun sebagai GSTT, aku berkhidmat di dua buah sekolah. SMK Jalan Kebun di Shah Alam selama dua tahun dan SMK Kg Jawa, Klang selama 6 bulan. Lepas tu, masa SBE (school-based experienced), aku ditempatkan di SJKT Sg Renggam Shah Alam untuk 2 minggu bersama 3 lagi sahabat, Zuraida, Adzru dan Naim. Masa praktikum pula, tiga bulan 'bertarung idea' di SK Telok Gadong bersama-sama dengan Amir Azlan, Zuraida dan Malar. Nature yang berpindah-randah ni buat aku sedikit bimbang bila nanti macam terasa-rasa menumpang pula bila sampai di tempat baru yang mungkin akan lebih lama dari tempoh setahun.

Harap-harapnya, aku dapat ditempatkan di sekolah berdekatan rumah. Tapi, walau ke mana pun nanti, aku akan cuba curahkan segala khidmat bakti aku untuk anak bangsa. Cuma buat masa ni, rasa risau dan agak berdebar bila memikirkan pengetahuan sedia ada untuk mengajar bagai sudah berkarat. Ohooo.... aku sangat takut... Moga Dia akan sentiasa membantu aku. Amin.

Rahsia

Lokasi: Ruang tamu

Sarah: Abah, empat campur lima berapa?
Abah: sembilan.
Sarah: Ok. Betul! Pandai Abah. Kalau 10 campur empat pula? Berapa jawapan dia?
Abah: 10 campur 4 ye 14 jawapannya.
Mama: (Sudah berkira-kira nak bagi cara jalan untuk dapatkan jawapan 14 tu kalau Sarah tak boleh bagi jawapan.
Sarah: Salah.
Mama: (Baru nak menyampuk. Tapi Abah potong dulu).
Abah: Betul la. Kalau salah, apa jawapan Kakak?
Sarah: Rahsia la. Kalau rahsia, mana boleh bagitau.

Huk alah.... bertuah punya anak... hehehe....

Monday, July 04, 2011

Sorry sayang..


Ini tulisan yang belum sempat mama nak keluarkan dalam blog mama. Kisah comel Mama yang duduk kat sekolah sampai pukul 2.30 Jumaat 24 Jun 2011. Mama sampai rumah lebih kurang 2.00 petang hari tu bila mama dapat panggilang dari sekolah Kak Long. Teacher Kak Long kata, tiada siapa yang ambil Kak Long sejak pagi lagi. Mama terkejut yang amat sebab sebelum tu patutnya Tok Yah yang ambil Kak Long macam hari-hari yang sebelumnya. Rasa nak menitik juga air mata mama terkenangkan anak mama kat sekolah. Jadi, mama dan abah cepat-cepat pergi sekolah Kak Long. Sedih mama tengok anak mama kat sekolah berdua aje dengan Teacher. Lepas mama minta maaf dan ucap terima kasih pada Teacher, mama pimpin Kak Long masuk kereta. Mama cium pipi Kak Long dan tanya Kak Long makan apa.
"Kakak makan biskut aje" Aduhai... sian Kak Long. Mesti lapar.
"Semua orang tadi balik naik van mama. Sarah je tak naik." Hahaha.... lagi la mama rasa sedih. Tapi, takpe la. Sekurang-kurangnya mama tau Kak Long kuat. Tak nangis bila berdepan dengan keadaan macam tu. Mama tau, Kak Long anak yang tabah dan kuat. Insyaallah, anak mama akan sentiasa maju dan berjaya. Amin. Mama sayang Kak Long.

Sunday, July 03, 2011

Makan kurma

Mama ada rasa sikit perubahan bila mama makan kurma ajwa. Alhamdulillah, makanan tu bagi sedikit tenaga pada mama. Kurangkan rasa loya-loya. Cuma, mama masih lagi lemah. Rumah kita dah berkurun rasanya tak rasa sentuhan kemasan dari mama. Mama rasa sangat rimas. Tapi mama tak mampu nak buat apa-apa. Mama masih lagi tak ada selera nak makan dan masih lagi tak lalu bila bau benda-benda tumisan dan berminyak. Mama masih lagi tercari-cari apa makanan yang terbaik yang boleh memenuhi selera mama. Untuk kali ni, mama cuma boleh makan paling banyak sesenduk nasi setiap kali sesi. Mama cuma boleh makan sebelum lapar dan berhenti sebelum mama kenyang. Or else, mama akan rasa nak muntah. Kesian kat Abah, Kak Long dan Kak Ngah sebab macam terabai bila mama macam ni. Cuma mama harap agar anak-anak mama dan Abah sabar dengan keadaan sekarang. Nanti mama cerita lagi perkembangan keadaan mama yea... :D Till then, Mama love you all..


Friday, July 01, 2011

Kurang sihat

Minggu ni mama rasa kurang sihat. Badan rasa panas sejuk je. Rasa loya dan tak lalu makan. Kepala pun pening-pening je. Berat mama dah menurun dari 58 kg ke 56 kg. Memang sangat tak selesa. Kak Ngah pula tak kurang susunya. Masih lagi menyusu dengan mama. Cuma waktu dia sebelum tidur dan bila tengok mama duduk-duduk. Badan mama memang dah kurang tenaga. Mama risau kalau-kalau mama tak mampu nak harungi minggu-minggu seterusnya. Mama cuba kuatkan diri sebab sekarang ni zaman gawat. Nak harapkan Abah je yang keluar belanja untuk kita. Kesian Abah. Abah banyak berkorban untuk kita. Mama harap Precious, Kak Ngah dan Kak Long tak lupakan pengorbanan Abah bila dah besar nanti yea.... Abah urus semua hal rumah dan kewangan buat masa ni. Mama tak mampu nak buat semua. Macam hari ni, mama masak sardin bila dah rasa agak sihat. Lepas makan dalam 1 jam, mama rasa tak sihat balik. Huhuhu.... Kena reda dan syukur dengan apa yang ada kan?
There was an error in this gadget