Thursday, February 13, 2014

Ar-Rabi'


Alhamdulillah. Lamanya mama tak menulis semula. Kali ni mama nak cerita tentang ahli keempat keluarga kita. Mama seronok sangat bila dapat tahu ahli keluarga kita bakal bertambah. Lebih seronok sebab kali ni mama tak alami apa-apa alahan. Cuma mama sangat letih sejak kebelakangan ni. Berita gembira bermula pada 3 Februari bila Doktor Rosnah beritahu yang garisan kabur pada pregnancy test kit tu bermaksud peratusan mama mengandung adalah tinggi. Doktor suruh sahkan lagi kemudian nanti. Jadi dia bekalkan lagi satu kit untuk mama test sendiri di rumah. 

Tiga hari kemudian memang sah positif. Semua orang seronok. Hari Ahad 9 Februari kita semua pergi ke Poliklinik Barakah. Doktor Khiriah scan perut mama. Nampak karung baby kecil je. Doktor kata baru 5 minggu. Jadi tak boleh sahkan EDD. Doktor suruh datang lagi another next two weeks. Sarah dah siap sediakan nama untuk adik baby. Katanya kalau lelaki, nama dia Muhammad Arif Iskandar. Syaza mesti cium perut mama setiap hari.

Tapi tak sampai seminggu, Allah uji kita. Hari Rabu masa mama nak hantar kakak ke sekolah mama rasa mama bleeding. Berderai air mata mama bila mama periksa dan tengok banyak darah yang keluar. Abah gegas balik dan bawa mama ke Klinik Rosnah. Doktor periksa dan kata masih ok. Mama sedikit lega. Namun petang tu, masa maghrib, makin banyak keluar siap dengan ketul darah kecil-kecil. Mama hujan lebat. Mata mama bengkak.


Pagi 12 Februari mama ke Poliklinik Barakah lagi. Scan. Karung adik baby dah tak secantik semalam. Doktor kata most probably miscarriage. Mama dah puas menangis semalam. Jadi mama ok ok je. Doktor pesan kalau dah keluar seketul darah, baru datang lagi untuk scan sahkan keguguran dan doktor akan bagi MC untuk dua minggu. 

Petang lepas hantar tok mak dan tok yah menunaikan umrah, mama rasa ada benda keluar dari rahim mama. Saat tu mama rasa sebak. Anak yang mama kandung dah pergi jauh dari hidup mama. Sampai kat masjid, mama bersihkan diri dan balut ketulan darah tu. Sebak. Sedih sangat. Itulah sahaja masa yang Allah berikan untuk mama mengandung anak keempat mama. Dari hari mama tahu 3 Februari hingga 12 Februari. Satu masa yang singkat namun indahnya mengandungkan anak keempat mama kali ini, hanya Allah yang tahu. Alhamdulillah, walaupun singkat, mama tetap bersyukur dikurniakan rezeki yang satu ini. Hadirmu senang dik. Mama kandung kamu juga senang. Dan pemergian kamu juga senang. Alhamdulillah. Innalillahi wainna ilaihi raji'un. Ar-Rabi' mama pergi menghadap Penciptanya.