Thursday, November 22, 2012

Kisah penyedia telekomunikasi yang putar alam

 


Sungguh! Aku sangat-sangat kecewa dengan  sikap penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang pada aku banyak menipu dan tidak menjalankan tanggungjawab mereka dengan telus. Geram. Marah. Sakit hati. Tiga penyedia telekomunikasi yang kononnya sangat baik dan bagus dalam memberi perkhidmatan mereka nyatanya sangat mengecewakan dan tidak ada sikap tanggungjawab langsung. TM streamyx. DIGI. Celcom. 

Untuk melayari internet, aku perlukan streamyx dek kerana tawaran akses data tanpa hadnya. Walaupun kelajuan tahap zaman jepun 512mb, aku dah rasa ok. Pasal kalau aku naik taraf ke 1g macam yang diorang selalu call n tawarkan tu, mmg menyesal x sudah. Bayar lebih sesen pun aku tak halalkan sebab line internet selalu bermasalah. Lagi pula time hujan. Selalu sangat line dia putus-putus. Putus-putus tu dah kira tahap paling baik dah tu. Kalau yang teruk amat, terus putus sampai makan hari. Pernah jadi sampai satu minggu rumah aku takde internet. 

Perangai TM ni, kalau ada masalah, kena buat report. Dan yang paling tak faham bila tiap kali call, kena buat report baru atas alasan report lama dah tutup walaupun kes belum selesai. Pelik juga, Bukan ke patutnya kalau report tak settle lagi, tak boleh tutup sesuka hati. Bila dia buat macam tu, ia nampak seolah-olah kes sudah selesai dan tidak berlanjutan lebih dari dua hari. Kira macam servis sangat bagus dan tip top la... Adoyaiii.... perasan sungguh TM ni...

Dek kerana servis TM yang macam hampeh tu, aku dan Mr. Hubby sepakat nak tukar ke DIGI yang kononnya menawarkan pakej internet murah dengan had (sebelum ni aku guna Celcom. Tapi sebab ingatkan Celcom takde pakej internet dan pernah kena caj sampai 200++, maka kami pilih DIGI). Aku pilih data pakej 38 dengan data sebanyak 250MB dan Mr. Hubby 1g. Aku difahamkan oleh mamat yang keje kat DIGI AEON Bukit Tinggi Klang tu, pakej ni aku cuma perlu bayar RM22 untuk panggilan, sms, mms dan vc manakala tambahan RM38 untuk internet sebanyak 250MB. Mr. HUbby pula perlu bayar RM48 termasuk internet. 

Lepas daftar, maka kami selalu la guna internet. Since aku dah set dalam hp supaya tak melebihi had yang ditetapkan, jadi tidak la aku ragu2 melayari internet especially bila kat dalam kelas and nak tunjuk benda-benda pada murid. Cuma agak pelik bila SETIAP BULAN, bil aku mesti tak pernah kurang dari RM200 untuk kedua-dua nombor utama dan sub. Yang SERONOK sangat tu, bil DIGI ni macam sengaja je nak kenakan pelanggan dia. Dalam bil, tidak ada detail penggunaan. Cuma ada summary sahaja. Kalau nak detail, kena bayar RM2. Pada aku, polisi ni mengarut dan sengaja dan mengenakan pelanggan. Sedangkan pelanggan berhak tahu detail bil yang dikenakan. Setiap bulan dari bulan 5 hinggalah ke bulan 11 aku membayar bil DIGI berkali2. Bulan 10 paling teruk sebab aku bayar tiga kali berjumlah RM500 tapi aku masih lagi berhutang pada DIGI untuk bil yang berikutnya. Sungguh! Aku pelik! Walaupun tak puas hati, aku masih lagi mmebayar dan tidak pula terfikir dan menelefon DIGI. 

Sudahnya, kerana sakit hati dan marah, aku bertukar semula pada CELCOM pada awal bulan 11 (6/11/2012). Kali ini kami ambil pakej data juga dengan main sebanyak RM40 untuk panggilan, sms, mms dan vc manakala data RM58 sebanyak 3G. Aku pula sbg subline bayar RM15 dengan data sebanyak RM38 pada kadar 300MB. Punyalah senang hatinya sebab aku dah boleh buat kerja di rumah untuk key in SPPBS. Sebelum ni kerja tertangguh hampir seminggu dek line STREAMYX yang terputus! Malam tu aku bantai access internet guna main line pasal dia ada 3G (walaupun SSPBS malam tu tetap tak boleh nak masuk) sampai tertidur hingga keesokan harinya dan terlupa nak matikan data usage.

Esoknya, aku punya line kena bar sebab mengikut kata message yang dihantar oleh sistem, aku sudah melebihi had yang ditetapkan. Adoiii... Baru guna sehari, sudah kena block??? Bila aku periksa bil, aku tengok dah cecah RM200++. Mak aihhh.... apa ni! Call pun tak sampai berapa kerat, dah kena bayar lebih RM200? Gila apa? Aku call customer service, dia kata aku guna internet. Bila aku kata aku subscribe data pakej, dia kata data pakej tu tak activate lagi. Dia cuma activate sehari selepas pendaftaran. Memang sangatlah panasnya ahti ini... Dah rasa nak maki Celcom and Celcom center yang kat Plaza Alam Sentral dah. Mulut manis, janji ada baik... tapi, tipu.... errghhhhh...... Aku bagitau customer service tu yang staff kat Celcom Cube tak inform pasal tu. So dia kata nanti suruh buat adjustment. Tapi suruh aku bayar dulu untuk unblock. Nak tak nak, aku bayar la full amount. Yang buat aku pelik sebenarnya, aku guna line internet main line, tapi subline yang kena block, bukan main line.... Sangatlah peliknya... Main line punya bil dah menjangkau RM108 kalau tak silap. Dan baru semalam aku dapat bil, aku punya bil takde adjustment (still lagi kena bayar penggunaan internet tu) p yang main line tak ada pulak kena bayar... 

Hari ni pula aku terima bil terahir DIGI dengan jumlah bil mencecah RM500 lebih. Ya ALlah.... terkejut sungguh sebab aku sudah selesaikan bil terakhir mengikut semakan dalam sistem. Untuk bil yang terakhir ni, ada pula detail. Dan setelah aku semak, rupanya bil yang gila mahal tu adalah kesemuanya untuk internet. Pay As You Use. Disebabkan marah dan tak puas hati, aku terus call bertanya. Jawapan yang diberikan mudah. AKU TIDAK MELANGGAN PAKEJ DATA INTERNET. Mak hai... pasal tu la bil aku macam bil orang kaya berniaga je... Ni mesti kerja mamat kat kedai DIGI AEON Bukit Tinggi Klang yang tak register pakej internet aku. Hadoiiii.... Kalau DIGI bagi detail dari awal, tentunya aku lebih tahu kenapa bil aku sangat mahal. Sebab tu aku rasa DIGI sengaja menipu dan mengenakan pelanggan pasca bayar mereka...

Pengalaman ni buat aku rasa macam sangat-sangat tak seronok. Aku tidak ada pilihan lain selain menggunakan mereka yang sedia ada ni. Mereka sesuka hati mengenakan bayaran tanpa mempedulikan hak pelanggan dan rasa tanggungjawab. Hidup di dunia kapitalis sebegini, walaupun sibuk melaungkan pelanggan sentiasa betul, tapi hakikatnya, kocek peniaga lebih penting untuk dijaga. Sakitnya begini....

Thursday, November 08, 2012

Catatan setahun di SJKT Jenjarom

Mula mendapat tawaran masa kursus dulu, aku tak percaya akan ditempatkan di SJKT. Masa mula-mula masuk di SJKT Jenjarom, aku agak ragu-ragu. Rasa tak mampu, soalan tentang logiknya aku, seorang Melayu ditempatkan di SJKT selalu datang bertalu-talu. Dengan semua rakan kerja adalah berbangsa India, rasanya ketika tu mustahil untuk aku hidup di sini. 

Tapi, Allah Maha Mengetahui. Sedikit demi sedikit, aku rasa aku dan SJKTJ adalah sama. Malah aku rasa bangga mengajar di SJKTJ. Banyak kisah lucu dan duka di sini. Paling kelakar bila anak-anak kecil tahun 1 memanggil aku kakak. DUnia mereka masih kecil. Tidak luas kerana kurang jauh perjalanan mereka. Pada mereka, orang Melayu adalah kakak (pembantu pra sekolah aku Melayu) yang membantu guru-guru mereka ketika mengajar. Seikhlasnya, aku simpati dengan mereka kerana kurangnya pendedahan.

Anak-anak ini nampak sangat semangat ingin menjalin hubungan baik dengan aku kerana aku berbangsa asing. Ketika aku beritahu yang aku bakal berpindah, mereka mengeluh dan bertanya kenapa. Ya, mereka tidak fasih berbahasa Malaysia kerana persekitaran. Tetapi mereka tetap cuba bercakap dengan aku walaupun kebanyakan waktu mereka berbahasa Tamil dengan menganggap aku memahaminya. Kelakar sangat rasanya berdepan dengan anak-anak ini. Kelakar tapi membahagiakan.

Berada di sekolah Tamil, aku selamat dari banyak perkara. Kurangnya teman berbicara menyelamatkan aku dari sudut pengurusan masa. Kemudahan tahap yang sederhana menyeronokkan aku. Mana nak dapat bilik guru yang ada 'cubicle' masing-masing. Itu tahap orang kerja pejabat. Dek kerana itu, aku mampu melengkapkan tempat bekerja aku dengan pelbagai kemudahan. Sampaikan Pushpa kata aku ni stationary shop. Even aku boleh terus mencetak dokumen disebabkan cubicle aku ada pencetak sendiri yang aku bawa dari rumah. Aku mampu menyediakan ABM sebanyak yang mungkin. Memang seronok di sini. Makan pun di meja sendiri.

Ada dua tiga perkataan yang aku belajar dari rakan-rakan guru dan anak-anak didik aku. Ukkar (duduk), paadi (baca), satham poda dei (Jangan bising), un gal dan pin gal (budak lelaki dan perempuan), sikkaru (cepat). Ada lagi kot. Tapi mungkin aku dah terlupa. Seronok juga belajar bahasa asing.

Bila permohonan tukar berjaya, aku akui hati aku separuh-separuh. Seronok juga di SJKT kerana aku sudah bersedia dengan bahan dan segala macam benda untuk tahun depan. Berpindah ke tempat baru bererti aku kena mula semula dari bawah. Setahun untuk aku menyesuaikan diri dengan suasana sedia ada. Harapnya, di sekolah baru aku dapat menyesuaikan diri nanti. I'm gonna miss my kids and colleagues... Bet, they don't believe this. :|

Sunday, November 04, 2012

Bertukar...


Alhamdulillah... Syukur tidak terhingga kerana laluanku dipermudahkan. Moga sahabat-sahabat guru yang tidak berjaya, mohon jangan putus asa dan cuba lagi. Tidak ada istilah putus asa dalam Islam. Teruskan berdoa dan berusaha. Moga keputusan kali ini membuatkan cikgu-cikgu lebih kuat untuk mendidik anak bangsa. Cerita cikgu nanti lebih bermakna berbanding saya yang tidak banyak cabaran. Amalkan surah al-Insyirah pada setiap kali lepas solat. Insyaallah, segalanya dipermudahkan. Berjaya atau tidak, alhamdulillah, cikgu masih lagi disayangi-Nya. Pasti ada hikmah di sebalik setiap yang berlaku dalam hidup kita.

Wednesday, October 24, 2012

Let's play with your children

Yup... I am not an ideal mother nor a bad one. But I always try to be the best for my children. The planning to play with them had been in my mind since my first was born. I really wanted to get involved with them when they played. I never had the chance (for my bad time of management and too many works to be done). At last, yesterday I managed to buy a game. Simple, nice and suitable for all. It's called Tumblin' Monkey. Just insert the sticks in the slot provided. Then, drop the small monkeys in the tree. The one who collects the monkey most will lose.


Macam-macam perangai anak-anak bila main. Yang Syaza sibuk nak kumpul monyet paling banyak. Dia akan frust kalau tiba turn dia, dia tak dapat turunkan monyet tu dari pokok. Hehehe... Sarah pula asyik nak giliran yang pertama. Mama galakkan Sarah sebut first, second and third sebab dia main sekali dengan abah. Dan mama tambah satu lagi perkataan forth bila mama nak join sama. Afiq pun sibuk nak join sekali. Bersilat dia dengan abah nak turun tarik sama batang plastik tu. Rasanya game ni boleh dijadikan family ritual during leisure time. It's not the game that we buy for them to play. It's the game that we involve with them to play. So, pada aku, tak perlu la beli dozens of game tanpa kita sendiri spend masa bermain dengan mereka.

Sila abaikan rumah yang bersepah itu. 

Sunday, October 21, 2012

Afiq lapan bulan


Afiq. Lapan bulan. Perkembangan....

Afiq dah pandai maju ke depan dengan kadar yang sangat laju.
Afiq dah pandai jerit bila nak barang. Sudah mula mengajar perkataan pada Afiq.
Afiq dah tumbuh gigi kacip bawah sebelah kiri! Cepatnya!
Afiq dah makin bijak.

Moga Afiq jadi anak yang hafiz. Amin.

Friday, October 05, 2012

Dictation atau imlak

Aktiviti hari ni berjaya. Jadi, teringin rasa nak berkongsi pengalaman ni. Dictation atau imlak adalah satu aktiviti yang boleh digunakan untuk subjek bahasa tak kira BM, BI, BT, BC atau seumpama dengannya. Aktiviti ni mengajar murid cara untuk mengeja dan menulis tanda baca dengan betul. Yang penting, arahan yang betul perlu diberikan sebelum memulakan permainan tersebut.

Saya namakan permainan ini BACA dan TULIS. Untuk kelas tahun 3 tadi, saya bahagikan murid secara berpasangan. A dan B. Saya asingkan tempat mereka, A dan B. Kemudian saya berikan arahan secara jelas siap dengan contoh. Perhatikan semua murid faham dengan penerangan yang diberi. Jika tidak faham, ulang dengan demo sekali lagi. Nanti kalau ada yang tak faham masa buat aktiviti, haru weh! Sebab cikgu boleh naik darah ada murid yang dah buat setengah jalan dan ada juga yang terkial-kial sebab tak faham.

Bahagian A membaca dan bahagian B menulis. Murid A perlu baca di meja mereka. Kemudian pergi ke Murid B dan suruh murid B tulis apa yang murid A baca tadi. Pastikan murid A arahkan rakannya untuk menekankan tanda baca dengan betul. Contoh, jika murid A baca "Hari ini Abu pergi ke pasar", suruh murid A arahkan rakannya B tulis begini, "Hari ini.... h tu huruf besar. A tu huruf kecil, r, i jarak.... i, n, i....:. Jadi, murid akan tahu untuk menulis dengan betul. Suruh juga murid A untuk semak semula setelah habis rakannya menulis. Pastikan ejaan dan tanda bacanya betul. Kemudian, setelah semua siap, tukar giliran. Kali ini B baca dan A tulis. Tulis ayat yang berbeza.

Untuk kelas satu jam, JANGAN berikan ayat yang panjang. Serangkap pantun 4 kerat yang mana A tulis dua baris dan B tulis dua baris sudah mencukupi. Sekiranya murid sudah biasa dengan aktiviti ini, maka ia akan jadi lebih mudah kerana arahan tidak lagi meleret-leret panjang sehingga dua tiga kali demo. Beritahu secara lisan dan murid sudah faham.

Aktiviti ini MEMANG BISING. Ini kerana murid akan bergerak ke sana sini dan bising membacakan ayatnya kepada rakan. Jadi, pastikan guru mampu mengawal kelas dengan baik. Jika hendak buat di luar bilik darjah, pastikan peralatan menulis mereka lengkap dibawa sekali dengan buku teks yang mengandungi ayat yang hendak dibaca berserta alat tulis. Murid akan seronok sambil belajar mengeja dan menulis ayat dengan tanda baca yang betul.

Permainan ini boleh juga dibuat dalam kumpulan yang besar iaitu 4 - 5 orang satu kumpulan. Guru boleh memberi setiap ahli kumpulan dengan nombor atau warna. Contohnya, setiap ahli kumpulan ada gelang getah berwarna biru, merah, putih, hijau dan kuning. Caranya masih sama. Cuma yang membaca ada seorang dan selebihnya menulis. Untuk bilangan yang ramai, guru hanya perlu menyuruh mereka membaca tiga perkataan sahaja atau mungkin satu baris yang mengandungi satu ayat mudah yang lengkap. Ambil giliran masing-masing.

Pada saya, permainan ini sangat menarik dan murid mengikuti aktiviti ini dengan seronok. Saya rasa permainan ini akan diulang semula untuk masa akan datang. Ia juga satu permainan yang sesuai dimainkan ketika kelas ganti. CIkgu.... Selamat mencuba... :D

Saturday, September 15, 2012

Aglio Olio Seafood

Dah berapa kali dok main masak-masak tapi tak sempat nak ambil gambarnya. Sama juga dengan keadaan kali ni. Buat pasta Aglio Olio untuk jamuan makan hari Ahad lepas. Ringkas dan mudah. Resepi asal dari sini ek.

500gm pasta (aku pilih fettucine)
1 kg makanan laut (ikut suka nak letak apa. Aku cuma letak udang je. Kalau rajin, boleh letak sotong, kepah dan kepingan salmon)
Minyak zaitun (aku guna minyak biasa campur sikit dengan minyak zaitun)
4 ulas bawang putih (kisar halus)
3 sudu chili flakes (aku tak masuk terus sebab anak2 tak makan pedas. Jadi chili flakes tabur bila nak makan)
3 sudu oregano flakes (tak ada dalam simpanan. Jadi cuma guna mixed herbs je.)
3 sudu besar parsley flakes 
1 sudu kecil lada hitam
1 kiub ayam
sos tiram
garam secukup rasa.


Cara-caranya
  1. Rebus fettucine sehingga lembut dan toskan. Dalam periuk lain, rebus seafood sehingga hampir masak dan toskan. Jangan buang air rebusan seafood ini. (sebab aku guna udang je, aku terus masukkan udang masa menumis. Lebih mudah untuk org yang malas macam aku. Hahaha)
  2. Panaskan minyak zaitun, tumis bawang putih sehingga kekuningan. Jangan sampai hangit. Masukkan 1 senduk air rebusan seafood. (aku tak masuk air rebusan sebab tak ada. Terus masukkan udang mentah dan dikacau sampai masak sebelum masukkan bahan no 3). 
  3. Masukkan sos tiram dan kacau sekejap.
  4. Masukkan oregano, parsley dan chili flakes, lada hitam, garam dan pati ayam.
  5. Masukkan spaghetti dan seafood. Kacau hingga sekata.
  6. Siap untuk dihidangkan.
* Pastikan garam dimasukkan sedikit dulu. Takut nanti terlebih masih, den tak jamin dooo.... Sebab masakan ni dah ada kiub ayam dan sos tiram which are already salted.

Rupa nampak macam plain je. Tapi percayalah... sedap... Oo... gambar tidak dapat disediakan kerana terlalu sibuk menyediakan hidangan untuk jamuan dan melayan tetamu. Tau-tau makanan dah habis. Hohoh.... Selamat mencuba.

Nasi Kabsah Kambing

Kehidupan yang sangat sibuk untuk minggu ni. Hari Isnin sibuk dengan persediaan untuk 'ketiadaan diri' pada hari Selasa hingga Khamis. Ada Kursus Guru Baharu Daerah Kuala Langat di Hotel Seri Malaysia, Port Dickson. Pelan asal nak menanda buku dan menyiapkan fail-fail yang ada masa anak-anak aku periksa UPSR tak menjadi kenyataan. Walaupun rasa terkilan, tapi ikutkan je la rentaknya. Kalau tahu boleh tolak macam member yang sorang tu, memang aku minta jasa baik GPK untuk tolakkan. Huhuhu... Apapun, benda dah berlaku.

Ok. Dah lama sangat tak kemaskini blog ni. Macam biasa, cerita banyak. Tapi masa tidak mengizinkan. Ini pun dah dengar suara Afiq. Mesti dia dah mula golek-golek atas katil. Kalau aku jenguk dan dia nampak, sah dia akan jerit suruh angkat. Hehe.... Kali ni nak penuhi permintaan Kak Alizah. Resepi dapat dari blog Kak Wana. Mudah dan senang nak buat nasi kabsah ni. Sebab lauk dia tak sebanyak nasi beriani. Ni senarai bahan untuk buat nasi kabsah. Aku ubah suai dari nasi kabsah ayam.


Resepi Nasi Kambing Kabsa ( adapted from Kak Wana's )

4 keping daging kambing ( bahagian bahu sebab tu je yang paling murah. hehehe... nak kaki dia, boleh juga )
1 inci halia – ditumbuk halus
1 sudu makan lada hitam biji- di tumbuk@serbuk lada hitam
minyak zaitun (aku guna minyak biasa je) + minyak sapi


3 cawan beras basmathi
4 1/2 cawan air @ air stok daging (aku guna air biasa)
1/2 sudu teh serbuk kunyit
2 sudu teh garam
1 kiub ayam/ daging (aku guna daging)
1 sudu makan rempah kabsa (skroll kat bawah ni)
safron (safron ni mahal dan susah nak cari. kalau tak ada, guna pewarna oren. Masa buat ni, dua2 tak ada. Jadi tak letak langsung).

Cara penyediaan

1. Lumurkan sedikit garam, halia yg telah ditumbuk dan serbuk lada hitam pada kepingan daging.
2. Panaskan minyak zaitun bersama 1 sudu minyak sapi di dalam kuali non stik kemudian masukkan kambing.
3. Goreng seketika kambing tadi sehingga di luarnya agak kekuningan. Kemudian ketepikan.
4. Cuci bersih beras basmathi kemudian masukkan dalam rice cooker.
5. Masukkan 4 1/2 cawan air, garam, rempah kabsa, kiub ayam/daging, serbuk kunyit, ayam yang telah di goreng bersama minyak2nya sekali ke dalam beras basmathi.
6. Masaklah nasi seperti biasa.
7. Titikkan dengan pewarna oren apabila nasi telah kering airnya.
8. Kacau dan tutup sehingga nasi tadi betul2 masak.
9. Bila nasi telah masak, hidangkan denga sos salata Hara.

Resepi rempah Kabsa ( sumber : Kak Wana)

Bahan2nya
1 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu teh serbuk cili – aku tak guna
1 sudu teh ketumbar biji (aku beli serbuk ketumbar)
1 sudu teh lada hitam
1 sudu teh cengkih
1 sudu teh biji buah pelaga
1 sudu teh jintan kasar + jintan manis ( aku beli serbuk jintan manis dan jintan kasar a.k.a jintan manis)
1 sudu teh serbuk halia/ fresh halia (aku guna halia segar)

Cara penyediaan.

Kisar atau tumbuk bahan2 diatas hingga lumat dan hancur, bila dah hancur bolehlah digunakan sebagai rempah utk buat masakan kabsa. (disebabkan kebanyakannya aku beli serbuk, jadi aku campur je. Buah pelaga, bunga cengkih tu aku tak tumbuk. Malas. Hehehe... lagipun bila makan kat kedai, bunga cengkih tu ada je aku tengok tak dihancurkan :)

Sumber: Kak Wana


Resepi Sos Salata Hara ( source : Arabic Bites )

3 biji tomato cincang.
1/2 cawan daun ketumbar
1/2 biji lemon ambil jusnya (guna serbuk limau Knorr pun boleh)
1 -2 biji cili hijau – aku tambah lebih skit sekali dengan cili api nak bagi pedas.
garam.
sedikit gula

Cara Penyediaan Sos Salata Hara:
* Masukkan semua bahan dalam blender, kemudian kisar kesemua bahan2 tadi hingga hancur.
** sedia utk di hidangkan bersama nasi kabsa.


Mula-mula buat dulu teringat ayam yang sedikit berempah dan berkuah yang ada orang bagi masa munjung puasa yang lalu (munjung ni tradisi menghantar makanan masa bulan puasa sebab masa pagi raya tak hantar dah. Biasa dibuat dihujung puasa). Jadi bila tengok Kak Wana punya ayam ni macam sedap, aku pun buat la. Senang sebab kisar bahan dan campak je dalam ayam. Kacau sekali sekala sampai masak. Sama macam rendang. Tapi rasanya lebih sesuai dimakan dengan nasi kabsah ni.







Resepi Ayam Masak Tairu Berempah (diceduk dan disesuaikan dari Kak Wana juga)
Bahan2nya
1 ekor ayam ( di potong 20, kemudian dibersihkan dan di tos )
1 cawan yogurt/tairu (kalau tak ada yogurt, boleh guna 1 cawan susu cair dengan 4 – 5 sudu jus limau kasturi/nipis. Campuran tu akan jadi pekat macam yogurt. Itu la gantinya)
1 – 2 sudu makan jus limau
garam secukup rasa
1 sudu makan gula – ikut citarasa, boleh lebih atau kurang
sedikit perasa jika suka

Bahan Kisar
1 sudu makan serbuk cili ( takde saya ganti dengan 8 biji cili padi merah )
1 sudu kecil jintan kasar
1 sudu kecil jintan halus
3/4 sudu makan biji ketumbar
3/4 sudu makan lada hitam
1/2 inci kayu manis/ 1/2 sk serbuk kayu manis
4 ulas bawang putih
1 biji bawang besar
1 inci halia
1 sudu kecil kunyit serbuk
4 biji buah pelaga
4 biji cengkih
1 biji bunga lawang
daun ketumbar ( hiasan )

Cara penyediaan

1. Masukkan yogurt dalam blender, kemudian masukkan cili padi, jintan kasar, jintan halus, biji ketumbar, lada hitam, bawang besar, bawang putih , halia, serbuk kunyit, buah pelaga, cengkih, kayu manis dan bunga lawang.

2. Kisar semua bahan hingga hancur, kemudian satukan bahan2 yg telah di blend tadi bersama ayam dalam kuali, masaklah dengan api seherhana.

3. Jika nak kuah lebih boleh tambah sedikit air lagi dan masaklah ayam tadi sehingga dagingnya empuk.

4. Sesuaikan rasa garam, gula dan masukkan sedikit jus limau… biar ia pekat sedikit bolahlah diangkat dan dihidangkan bersama daun ketumbar.

Okay... Selamat Menjamu selera. Aku nak pergi buat sarapan pagi ni. Hehehe....

Friday, August 24, 2012

Afiq, enam bulan


Pada usia 6 bulan, berat Afiq turun sikit dari 9.5 kg ke 9.3 kg. Afiq demam selesema. Baik dan demam sepanjang dua minggu semenjak sebelum raya lagi. Empat kali sedut gas di Klinik Pakar Kanak-kanak di Bandar Botanic. Sekali sedut RM15. Masa lawatan pertama tu, bayarannya cuma RM65 je. Doktor Lee kata Afiq terlebih berat. Jadi, Afiq makan ubat demam lebih dari kanak-kanak biasa. 3ml instead of 1.5 ml. Hehehe...

Masa raya kat kampung, demam Afiq turun naik. Sekejap ok, sekejap demam panas. Penah cecah 38.7C. Tapi alhamdulillah, mama berjaya kawal suhu badan Afiq. Sedut hingus dan makan ubat dah jadi biasa untuk Afiq. Makan ubat dah tak takut dan menangis lagi. Cuma bila nak sedut hingus, Afiq mesti menangis bila nampak air garam yang nak disembur ke hidung Afiq. Mama kesian. Dapat rasa peritnya air garam masuk hidung. Tapi, biasanya bila lepas disedut hingusnya, Afiq pasti nampak lega dan dah boleh senyum-senyum.

  

Doktor bagi air garam jenama Sterimar untuk bayi berumur 0-3 tahun. Lepas tu dia sertakan sekali pencuci hidung jenis tiub. Lebih elok dan selamat untuk bayi. Jadinya, peralatan ni la yang jadi teman setia Afiq sepanjang dia selesema dan demam. Alhamdulillah, hari ni, Afiq nampak ok. Takde tanda-tanda nak demam lagi. Cuma batuk masih lagi ada. Kadang-kadang bunyi kahaknya pekat sangat.

Mama ingatkan nak lanjutkan waktu beri makan untuk Afiq sampai Afiq sihat. Tapi semalam Afiq nampak tak sabar sangat nak makan. Disebabkan mama tak prepare apa-apa lagi, jadi mama cuma bagi kentang putar yang mama beli kat KFC. Mama cuba bagi couscous tapi Afiq macam tak berminat nak makan. Mungkin sebab teksturnya agak kasar. Jadi Afiq macam nak tercekik mama tengok bila Afiq makan. Selera betul Afiq makan kentang putar tu sampai hampir habis tiga suku bekas kecil tu. Makan macam dah biasa je mama tengok. Hehehe... 

Sat tadi mama dah sediakan bubur nasi yang mama kisar halus dan juga lobak merah yang dah dikisar halus. Mama simpan dalam peti sejuk beku. Nanti bila nak makan, tinggal panaskan aje. Cepatnya masa berlalu. Rasanya masih terbayang-bayang sakit bersalin dan kini Afiq sudah 6 bulan. Subhanallah....



Pasta Goreng Berempah

sumber: kyros kebab

Dah lama nak muat naik resepi ni untuk rujukan sendiri dan sesiapa yang berminat. Aku mula suka masak pasta ni lepas makan di Kyros Kebab. Sedap. Cuba cari resepi masa tu tak jumpa. Jadinya aku makan berkali-kali untuk rasa apa yang ada dalam pasta tu. Masa makan, aku kenal pasti bahan-bahan dia. Hehehe... macam pandai je kan? Tak ada la kena 100% kot. Mungkin ada bahan rahsia. Tapi bila aku guna resepi ni, boleh la kena dengan tekak sendiri. Mau cubakah? Silakan.

Pasta goreng berempah

Bahan-bahan A
2 sudu Kari
Rosemary
McCormick Mixed Herbs / Master Food Spaghetti Bolognaise
Sos tiram
Garam
Gula atau madu

3 keping dada ayam
Satu bungkus spaghetti (500gm) - *Ikut suka nak guna pasta jenis apa. Kadang2 aku guna spageti. ada masa fettucini.
Tiga biji lada benggala dipotong panjang
Dua biji bawang besar
Satu labu bawang putih
4 sudu besar sos tiram
4 sudu besar McCormick Mixed Herbs / Master Food Spaghetti Bolognaise
3 sudu besar lada hitam yang ditumbuk kasar
Garam secukup rasa
Minyak masak

Cara-cara memasak:
  1. Perap ayam bersama bahan-bahan A selama ½ jam dan kemudian dibakar. Potong nipis-nipis dan ketepikan.
  2. Panaskan kuali dan masukkan minyak.
  3. Tumis bawang besar dan bawang putih sehingga lembut dan masukkan garam secukup rasa.
  4. Masukkan sos tiram, lada hitam dan Mixed Herbs atau Spagehtti Bolognaise herbs dan kacau.
  5. Kemudian masukkan ayam yang telah dihiris nipis dan cili benggala. Kacau hingga cili benggala agak lembut.
  6. Masukkan spaghetti atau sebarang pasta ke dalam kuali dan kacau hingga rata. 


Makanan ni aku selalu masak kat rumah mak masa raya pertama. And masa raya pertama tahun ni gak aku buat Nasi Kabsah. Makan dengan ayam yogurt dan sos dia. Sedap weh. Resepinya boleh rujuk kat sini ek. Terima kasih kak Wana.

Sunday, August 12, 2012

Babywearing... Another collection

Ingat tak dulu ada satu tulisan pasal babywearing? Boleh baca kat sini. Secara dasarnya, aku dah ada 3 jenis babywearing. Ring sling, baby pouch dan wrap. Aku suka semuanya. Tapi, ada satu lagi yang menjadikan aku lebih suka lagi. Hehehe… SSC or known as soft structured carrier. SSC ni lain sikit dari carrier yang biasa. Perlu diingat kebanyakan carrier sedia ada di pasaran hanya menggantung bayi dan bukannya membawa. Kalau diperhatikan, carrier tersebut hanya menampung berat bayi melalui punggungnya sahaja.

 Ini boleh membawa kepada rasa penat. Ye la… cuba bayang kalau kita hanya boleh letak punggung je kat batang besi. Penat kan? Sebab keseluruhan berat badan kita hanya ditampung oleh punggung. Aduhai… sangat meletihkan. Kalau dah terpaksa, tak boleh nak buat apa la. Tapi tentu sekali kita dok terbayang alangkah seronoknya kalau ada kerusi yang elok untuk kita duduk berehat kan? Macam tu juga dengan bayi.


Carrier yang paling elok adalah carrier yang boleh menampung berat bayi melalui kedudukan duduk yang sempurna. Kedudukan duduk yang sempurna bermaksud ia meliputi punggung bayi dan juga kedua-dua belah peha hingga ke pelipat di bahagian lutut. Kiranya macam kita duduk sempurna la. Melalui carat tu, baru kita rasa selesa kan? Bayi juga begitu. Sebab tu aku kata SSC adalah carrier yang paling baik untuk bayi. Bukan carrier biasa. Bayi duduk dengan sempurna sambil kita pun rasa selesa membawa dia ke hulu ke hilir. Lebih dari itu, bayi duduk dekat dengan jantung kita dan mendengar setiap denyut jantung ibu. Bayi yang sentiasa ‘dipakai’ akan lebih berkeyakinan dan cepat menjadi matang berbanding bayi yang diletak di dalam kereta tolak. 

Jadi, pakailah bayi anda selalu. Hehehe… Kalau teringin nak beli SSC ni, boleh dapatkan di sini dan juga di sini. Oh… di sini juga. Selamat mencuba!

Nota: Tentang SSC ni, aku beli secara maya di sini. Perkhidmatan yang sangat bagus. Aku suka. Dan Afiq juga selesa dibawa menggunakan SSC ni. Yang paling penting, Mr. Hubby pun boleh sama 'pakai' Afiq kalau aku penat. Berbanding wrap yang sebelum ni hanya boleh dipakai oleh aku. Huhuhu...


Friday, July 27, 2012

Afiq, 5 bulan


Dah lama tak kemas kini blog. Agak sibuk dan di rumah dah malas nak on lappy. Cerita masih banyak tapi tak sempat nak tulis. Afiq dah lima bulan dengan berat dia 9.5 kg.  Dah pabdai meniarap dan mula maju ke depan. Apa lagi nak cerita ek? Nanti la sambung. Selamat berbuka!

Tuesday, May 08, 2012

Diabetic test

I supposed to write about this yesterday coz I went for the test yesterday morning. I had to fast for 10 hours to the test. I planned to go to the clinic around 9 something because I really need to take my breakfast asap as my stomach was growling like a bear. Hohoho.... However, due to certain reason, I reached the clinic around 10 something. Ya Allah... lapar gila dah masa tu.
Since there was three persons waiting for their turn, so, I had to be more patience and kept telling my mind that I would be having my breakfast very soon. Hehehe.... When it came to be my turn, Dr. Rosnah suggested for me to do the test on a strip. If the result turned worse, then I had to drink the 'air gula'. Huhuhu... One of the terrible test that I had to go through during my first pregnancy. Alhamdulillah, for the strip test, my sugar level was 4.6. Normal level for fasting people. Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah....

Afiq will turn to three months old next week. His progress... He can smile, he will look at mama and fall asleep. Hehehe... Afiq starts to giggle. Sweet sangat. Alhamdulillah... berat buat masa 2 bulan lepas ialan 7 kilogram. Badan besar yang amat. Apapun, mama tetap sayang Afiq.

Friday, May 04, 2012

Manusia dengan sifat kebinatangannya

Aku memang jarang sangat tengok tv. Malas sebab tak banyak benda menarik yang perlu ditonton. Paling baik pun, aku tengok al-hijrah slot ustaz don. memang semenjak berhenti melanggan astro, aku jarang menghadap tv. Bagus juga. Boleh manfaat masa untuk bends lain. Masa pergi bercuti dengan keluarga aku minggu lepas, aku habiskan hampir separuh masa menonton tv sebab tak tau nak buat apa selain makan dan tidur, juga sesi bergambar dengan keluarga dalam bilik hotel dan di taman.
Satu slot di tv berbayar ada buat iklan tentang keganasan manusia ke atas binatang. Memang  rasa tak sanggp tengok dan tak terfikir yang manusia sanggup buat kerja macam tu. Ada tiga jenis binatang yang dipertontonkan untuk slot iklan tu.
Beruang yang dikurung dalam sangkar yang sangat kecil. Sangat kecil dan hanya cukup untuk binatang itu berdiri. Keluasannya betul -betul bersaiz binatang tu. Aku tak pasti untuk apa dia dikurung sebab ada satu bahagian tu aku tengok seorang pekerja gunting sesuatu kat bahagian bawah beruang tu dan terpancutlah air warna hitam. Tak pati sama ada darah atau air kencing. Nyatanya, haiwan tu hidup terseksa untuk membekalkan manusia dengan cecair itu. Kejamnya!
Binatang kedua yang aku tengok adalah jerung. Diambil menggunakan senjata tajam seperti tombak. Ditarik naik ke atas kapal dan dipotong siripnya tanpa belas. Selesai, jerung yang sedang meronta-ronta kesakitan tu ditolak dengan kaki masuk semula ke dalam laut dan dibiarkan mati. Kejamnya!
Ketiga adalah penyu. Binatang tu dijadikan hidangan eksotik di restorwn-restoran. Ditangkap, diptong cengkerangnya hidup-hidup dan kemudian dicampak untuk dipotong kecil-kecil dan dimasak.
Binatang 1 dan 3 tu pada aku tak seeloknya dibuat begitu kerana mereka adalah binatang liar. Mereka bukan binatang yang halal dimakan dalam Islam. Jadi seharusnya perkara itu tidak berlaku pada mereka. Manakala binatang yang kedua tu pula sepatutnya tidak disksa sedemikian rupa. Paling tidsk, ambillah keseluruhan badannya untuk dimanfaatkan supaya ia tidak mati terseksa begitu. Manusia ni, walau Allah telah ciptakan dengan akal, namun mereka bersikap seperti binatang yang tidak tahu apa itu kemanusian.

Monday, April 23, 2012

Deep Freezer untuk EBM saya

Alhamdulillah Ya Allah kerana mengurniakan kelebihan rezeki untuk Afiq dan dikongsikan dengan keluarganya. Memang aku ada simpan cita-cita nak beli deep freezer. Tapi masa tu belum kesampaian. La ni, stok susu untuk Afiq masa aku dah kerja nanti melimpah ruah. Alhamdulillah. Buat masa ni aku dah kumpul hampir 250 pek EBM yg setiap satunya lebih kurang 2-3 oz (sebagai yang disaran oleh Cik Sue). Dah pinjam freezer mak tapi tak muat. Guna pula bhgn freezer sendiri. Kelmarin dah perasan tak muat juga. Sedangkan aku masih ada 2 minggu lagi untuk simpan stok. Memang tak muat. Bila aku suarakan pada Mr Hubby nak beli deep freezer, dengan selamba je dia kata, “Beli la”…. Waaa… rasa nak joget bagai sebab dia tak banyak tanya.
Aku beli hari Ahad di Harvey Norman. Sukanya beli barangan elektrik di situ sebab dia ada extended warranty. So kalau barang rossak dalam tempoh tu, tak perlu susah-susah hantar ke manufacturer sebab HN akan tolong ambil dan hantar untuk servis. Deep Freezer yang aku beli ni harganya RM779 jenis menegak (upright). Suka jenis ni sebab tak perlu keluarkan segala barang sebab dia sudah tersedia tersusun. Campur dengan extended warranty another two years, harga freezer jenama Mistral ni ialah RM884 (jangan salah faham lak ek bila aku letak harga kat sini. aku bukan nak menunjuk rezeki terlebih ni. Cuma untuk panduan kawan-kawan yang rasa-rasa nak beli deep freezer ni later on).
La ni tengah countdown nak on the freezer and shift all my EBM to a new home. Hahaha… Lalala… Ok. nak pergi masak second pavlova and bakar lamb chop for dinner.





Freezer terpaksa letak kat bilik belakang sebelah dapur sebab dapur is fully occupied. Huhuhu...


Friday, April 20, 2012

Umrah Mak dan Bapa Mertua 2012

Hari ni mak dan abah mertua bertolak ke Madinah. Penerbangan jangkanya pukul 10 pagi. Jadi masing-maisng berebut la nak bangun awal pagi kengkonon pukul 4 nak solat subuh kat KLIA. Takut nanti kalau solat kat rumah tak sempat sampai KLIA before 7 sebab subuh la ni masuk lewat sikit kan... 

Aku bertolak jam 5.30 pagi dan solat di Petronas KLIA. Sampai KLIA jam 7 pagi dan rombongan mak mertua aku pun baru sampai gak. Hahaha... ye ye je kan... Lepas tu bila pergi ke kaunter untuk pendaftaran masuk, rupanya flight ditangguhkan ke pukul 12? What? Gamaknya kami sekeluarga berkampung hingga jam 11 pagi. Malas nak cerita panjang, so, layan je la ek gambo ni...

Sarah sempat posing sebaik sampai di tempat letak kereta.

Meeting point berhampiran kaunter B1

Afiq yang nyenyak dalam warp dalam keadaan belum mandi. Hahaha....

Yang kiri aku tu tak dikira keluarga ek... hehehe

My in-laws

Kak Ros dan Abg Man. Sian Abg Man kena tinggal.

Mak dan Abah mertua tersayang

Keluarga mertua abang Rafi

Cik Toi dan Aunty Arda serta Encik Irfan

Cik Ain dan Encik Hafiz

Mak Usuku..... kata Iwan

Menangis antara aktiviti yang sempat berjalan sepanjang proses menunggu

Meeting

Kebuluran

Aksi manja Ard


Mendengar taklimat terakhir sebelum berlepas

My first Pavlova ever

Macam musim buat pavlova. Dan aku juga teringin nak rasa pavlova tu. Malangnya tak ada siapa di sini yang boleh buat. Jadi, aku tekad buat sendiri. Bahan dah lama beli berdasarkan resepi dari cik puan irma. Cara dia olah pembuatan tu memang senang nak faham. Jadi lebih mudah le aku menikmati pavlova yang sedap buatan sendiri.

Bahan-bahannya
4 biji putih telur (pastikan tiada kuning telur ketika proses mengasingkan ek)
1 cawan gula kastor (saya guna 3/4 cawan untuk mengurangkan manis. Tapi masih manis. Kalau nak, kurangkan lagi dan lagi... hahahah....)
1/2 sudu teh esen vanilla
1 sudu teh cuka masakan
1/2 sudu besar tepung jagung

Cara-caranya:1. Pukul putih telur pada kelajuan perlahan sampai dia kembang yang amat.
2. Pada kelajuan tinggi, masukkan gula sikit demi sedikit dan terus pukul hingga dia jadi berkilat dan bila diusik dengan spatula dia jadi tinggi bertanduk. hehhehe....
3. Masukkan esen vanila dan cuka. Terus pukul lagi.
4. Masukkan tepung jagung. Lepas tu kacau dengan spatula.
5. Bentukkan adunan ikut suka sebab aku suka nak buat bentuk 4 segi disebabkan oven aku yang kecil dan comel.


6. Pada suhu 130 darjah celcius, bakar selama 1 jam.
7. Buka oven sedikit dan biarkan ia sejuk.

Nota: Yang sadisnya, oven aku kecil yang amat. Jadi, meringue aku tu cepat terbakar dan jadi sedikit gelap bhgn atas. Nasib baik perasan. jadi aku turunkan suhu ke 70. Malangnya bawah dia kurang masak. Disebabkan nak cepat (aku nak keluar shopping some beddings), aku tinggalkan aje. Balik dari shopping, aku panaskan bhgn bawah aje dengan suhu 100 darjah celcius. Baru la jadi comel. Tapi dia merekah beso yang amat. Tak kisah la sebab masih sedap untuk dimakan. Yummy!!!!

Untuk topping dia, aku sangat malas nak pukul whip cream. Jadinya, beli aje yang dah siap. Sembur kat atas pavlova tu dan letak la buah-buah yang masam. Ya Allah... sedapnya yang amat. Alhamdulillah, jadi juga aku nak makan pavlova. Memang sedap. Hohohoh...



Saturday, April 14, 2012

Happy birthday dear Hubby, kenduri selamat and akikah

Happy Birthday to my dear hubby... Today is your 33rd birthday. May Allah bless you and may you become a great husband. Moga rezeki mencurah-curah untuk abang dan moga kemurahan rezeki itu dapat digunakan untuk membantu yang memerlukan. Moga dikurniakan anak yang soleh dan solehah untuk mendoakan kita pabila kita mati nanti. Moga dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus mengabdikan diri pada-Nya. Amin.
Hadiah istimewa untuk hobi yang terbaru. :)

Malam tu diadakan juga kenduri selamat sempena mak dan abah yang nak menunaikan umrah 20hb April ni. Bersekali dengan itu juga, akikah Afiq turut disempurnakan. Alhamdulillah, seekor kambing handsome berjaya diakikahkan untuk Afiq. Insyaallah, kalau ada rezeki lebih, kita tumbangkan seekor lagi yea... Buat sekali 'majlis cukur jambu'. Takde jambal pun yang nak dicukurkan. Dah siap botak kan. Cumanya sekdar dibawa keliling jiran dan dibacakan doa. Takyah la nak potong jambul dan letak dalam kelapa bagai. Tak ada gunanya. Membazir sebab kelapa tu boleh dimakan. Seeloknya bercukur dan rambut yang sudha dicukur ditimbang untuk dinilaikan dengan wang yang kemudian disedekahkan kepada fakir miskin.

Kambing Afiq yang handsome



Afiq sebelum dibawa keliling tetamu yang hadir

Keluarga aku yang turut sama hadir

Ayah, dan abah

Azam dan Pais a.k.a Mohd Kamal Arif

Menikmati makan malam

Kuih kasui yang mak aku paling gemar. Habis dimakannya.. hehehe

Mak Pengantin (hohoho....)

Dibawa keliling jiran sambil didoakan kebaikannya... Amin

Antara yang hadir

Afiq dah penat. Syaza tumpang sekaki...