Saturday, July 27, 2013

Afiq setahun lima bulan



Afiq dah setahun 5 bulan. Sekejap je masa berlalu. Mama pun tak sempat nak catat perkembangan Afiq setiap bulan yang berlalu. Sibuk dengan macam-macam perkara. Yang mama ingat, Afiq mula berjalan pada usia setahun 2 bulan. Sama macam Kak Ngah. Abah mula bawa Afiq berkunjung ke masjid masa Afiq berusia setahun tiga bulan. Mama ikut sekali. Selalunya mama masbuk sebab nak jaga Afiq dulu. Bila imam dah masuk rakaat terakhir baru mama solat. Dapat la juga pahala solat jemaah kan. Jadi sebaik sahaja imam bagi salam, abah ambil alih jaga Afiq. Kat masjid Afiq akan pusing kawasan solat. Atau kadang-kadang Afiq akan baring sambil golek-golek dekat bahagian belakang jemaah lelaki. Ada masa mood tak baik, Afiq akan menjerit menangis. Masa tu mama tak boleh nak masbuk pun. Jadi bila dah selesai solat, baru mama boleh mula solat. Mama cuba nak biasakan Afiq dengan masjid. Afiq pun nampak tak kekok di masjid. Kawan-kawan Afiq semua budak yang besar-besar. Abah cuma bawa Afiq waktu solat maghrib dan isyak je. Itu pun kalau mama ikut sama ke masjid. Kalau tak, Afiq duduk di rumah sebab tak ada siapa nanti nak tengokkan Afiq.

Bulan puasa ni Afiq tak ke masjid. Mama bimbang Afiq akan ganggu jemaah solat. Lagipun, bulan puasa ni, tok mak kata kawasan perempuan penuh. Jadi tak ada ruang untuk Afiq golek-golek atau menyandar kat tiang. Kat rumah pun, Afiq dah mula buat sikit-sikit pergerakan solat. Ada masa Afiq berdiri sebelah mama atau abah dan ikut rukuk dan sujud. Kelakar pun ada tengok Afiq macam tu.

Sekarang ni, Afiq dah boleh sebut beberapa huruf hijaiyah. Alif, ba, ta, da, ja, ra, lam, mim, nun, wau, ya. Mama ajar mana yang mudah Afiq sebut dulu. Macam huruf alif, ba, ra, ja, ma, Afiq boleh sebut kalau mama tunjuk kad huruf. Afiq pun dah boleh pilih huruf apa yang mama sebut. Alhamdulillah. Mama selalunya tak sempat nak imbas kad semenjak Afiq dah boleh jalan ni. Ada tak ada, mama buka perisian Huruf hijaiyah dalam telefon pintar. Mama tekan hurufnya dan Afiq ikut. Kadang-kadang mama biar je Afiq main. Rancangan mama nak tampal kad huruf hijaiyaj di keliling rumah belum terlaksana lagi. Sebab plastik laminate dah habis dan belum ada bajet nak beli lagi. Yang ada cuma kertas yang sudah mama cetak dan menunggu masa untuk dilaminate sahaja.

Setakat setahun lima bulan ni juga, Afiq masih menyusu badan sepenuhnya. Mama tak campur lagi. Walaupun bekalan susu dah kira kais pagi minum pagii, tapi alhamdulillah, masih cukup. Mama yakin Allah akan bagi cukup. Mama rancang untuk buat relaktasi untuk cuti sekolah dua minggu ni. Moga Allah beri mama kekuatan untuk itu. Mama mengharapkan susu yang meriah macam masa Afiq mula-mula lahir dulu. Mama ada amalkan doa, zikir dan bacaan ayat Quran. Mama ambil ni dari sini.



1. Menyusu dengan kerap atau memerah susu dengan kerap. Sekurang-kurangnya 3 jam sekali atau mengikut rutin anak menyusu. Lebih kerap susu ibu diperah, lebih kerap susu baru akan terbentuk. Menjarakkan masa terlalu lama atau menunggu breast rasa penuh atau bengkak baru memerah boleh menyebabkan penurunan jumlah susu dan susu lebih cair bukan menambah susu ibu.
2. Minum air masak/ kosong 3 L sehari dan makan makanan yang berkhasiat dengan gembira.
Kesihatan dan emosi ibu boleh menambah atau mengurangkan susu ibu.
3. Zikir dan doa kepada Allah bagi yang beragama Islam.
Setiap usaha dan amalan tidak akan berhasil tanpa izinNya jadi perbaiki amal ibadat dan mohon dari Allah yang berkuasa supaya menambah susu ibu.
Doa dan zikir untuk menambah susu ibu.
1. Doa
Ya Allah, permudahkanlah segala urusan kehidupanku, banyakkanlah susuku untuk bayiku, dan permudahkanlah perjalananku untuk menyusukan anakku agar menuruti segala yang telah Engkau syariatkan.
Ya Allah seberapa banyak susu yang aku perolehi hari ini , penuhilah dengan rahmatMu dan keberkatan di sisiMu. Semoga dengan keberkatanMu, susu yang sedikit menjadi banyak dan kenyang buat anakku
Sambil membaca doa ini letakkan tangan pada payudara dan doa semoga Allah murahkan rezeki untuk menyempurnakan penyusuan susu ibu hingga 2 tahun.
2. Zikir
Zikir Ya Matin (70x) setiap mlm & subuh @ hembuskan pada air & dibuat minuman.
3. Surah Al-Hujurat & Al-Kauthar
Surah ini menjadi amalan ibu sepanjang mengandung dan boleh diteruskan dengan niat semoga Allah memurahkan rezeki anak.
4. Ayat dari Surah Al-Baqarah, ayat ke 60
Maksud ayat:”Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman: “Pukullah batu itu dengan tongkatmu”, (ia pun memukulnya), lalu terpancutlah dari batu itu dua belas mata air sesungguhnya tiap-tiap satu puak (di antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. (Dan Kami berfirman): “Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi.”
Ayat 72-73 Surah Yasin
5. Solat sunat Dhuha
Cuba untuk melakukan solat sunat Dhuha dan amalkan doa ini sebanyak 3kali semasa sujud akhir.
“Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikan itu adalah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindunganMu.
Ya Allah, jika rezekiku masih di langit, turunkanlah, dan jika di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar, permudahkanlah, jika haram, sucikanlah dan jika jauh, dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, kecantikan. keindahan, kekuatan, kekuasaanMu, limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.”
Jika tidak berkesempatan untuk solat sunat, cukuplah sekadar berdoa dengan doa dhuha ini.
Air yang mama guna untuk bacakan zikir tu ialah air zamzam. Alhamdulillah, walaupun tak banyak, tapi untuk permulaan, susunya lebih sedikit dari biasa. Kalau selalu mama perah dapat la dalam 2 oz. Tapi sejak mula amal ni, naik sikit 1 oz. Kalau mama rajin lagi, insyaallah, rasanya boleh dapat banyak. Cuma nak fokus pada relaktasi tu belum sempat lagi. Kat sekolah memang mama tak sempat nak pam. Selalunya dalam perjalanan balik baru pam. 
Ok. Bila ada lapang lagi nanti mama tulis ek. Pada kawan-kawan, selamat berpuasa. Gunakanlah baki yang ada ni untuk memperbanyakkan amalan. Moga masih sempat. Amin.



There was an error in this gadget