Thursday, March 10, 2011

Selamat Hari Lahir, Kak Long


Harap-harapnya belum terlambat untuk Uda ucapkan Selamat Hari Lahir untuk Kak Long yang uda sayang. Sekejap je rasanya masa berlalu. Dan sekarang usia Kak Long dah menginjak ke angka 37. Rasa baru semalam kita bergaduh sambil pusing-pusing meja. Rasa baru semalam ternampak-nampak Kak Long berlari-lari mengangkat kain di jemuran sedang Uda melompat-lompat di birai tingkap. Bagi semangat supaya Kak Long cepat-cepat angkat kain ketika hujan mula lebat. Pahit manis kenangan dengan Kak Long memang tak dapat Uda lupakan. Kak Long la kakak segalanya untuk Uda.

Ingat lagi masa Kak Long selalu tukar sekolah. Sekolah jauh-jauh sebab mak ayah nak Kak Long pandai. Tapi Kak Long selalu je balik semula sebab tak nak jauh-jauh dengan mak dan ayah. Kak Long sanggup berulang pagi-pagi buta supaya Kak Long masih ada masa untuk duduk dekat dengan mak. Bila habis sekolah, Kak Long kerja sementara di kilang. Seperti masa sekolah, Kak Long tak nak kerja jauh-jauh. Kak Long sanggup berulang dengan bas kilang seawal pagi. Lebih baik dari duduk di rumah sewa. Tak lama, Kak Long dapat kerja sebagai guru sandaran. Jauh. Kali ni di Keramat. Tiap minggu Kak Long balik naik bas dan tiap minggu juga ayah, mak dan kami semua naik kereta hantar Kak Long ke rumah sewa di Keramat.

Hampir lima tahun sebagai guru sandaran, baru Kak Long diserap menjadi guru tetap. Kak Long dah jadi Ustazah. Impian Kak Long tercapai dan ayah pun senang hati. Tak lama, Kak Long kahwin dengan Abang Long. Anak satu.... dua.... tiga.... Macam-macam cabaran yang Kak Long hadapi. Akhirnya Kak Long sekeluarga balik kampung sebab kesukaran hidup di kota. Tapi rezeki Kak Long memang melimpah-ruah. Walaupun hidup susah, ada sahaja jalan keluar yang Allah tunjuk untuk Kak Long. Puas juga Uda fikir kenapa. Sebab Uda tengok, Kak Long tetap mewah walaupun kadang-kadang Kak Long kata Kak Long tak ada duit sangat. Walaupun, kadang-kadang Uda tengok Kak Long susah hati dengan anak-anak.

Puas sudah Uda fikir kenapa Kak Long terus senang. Uda bukan dengki. Tapi Uda nak tau kenapa begitu. Baru hari ini, Uda terfikir, Allah sentiasa memelihara orang yang menjaga kedua ibu bapa mereka. Baru hari ini Uda tahu, Allah sentiasa lapangkan Kak Long sekeluarga sebab Kak Long tak pernah tinggal mengirim duit untuk mak dan ayah. Kak Long tak pernah lekang membelanjakan duit untuk mak dan ayah. Kak Long selalu buat mak tersenyum.

Adik, Usu, Acik dan Angah... inilah rasanya yang Allah nak tunjuk pada kita. Supaya kita tak lupa pada jasa mak dan ayah. Allah beri Kak Long pada kita sebab Allah nak kita sentiasa sedar dan tidak leka, bahawa syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Ayah pula adalah orangnya yang membanting tulang membesarkan kita semua.

Adik, Usu, Acik dan Angah.... marilah kita sama-sama minta pada Dia supaya hati kita juga jadi semulia Kak Long. Pengorbanan Kak Long pada kita adik-adiknya tidak seharusnya kita lupakan begitu sahaja. Kak Longlah tulang belakang keluarga kita. Pada Adik, Usu, Acik dan Angah, Uda harap kita terus bersatu agar kita tidak runtuh. Pada Kak Long, bimbinglah kami supaya jadi teguh dan kuat, sekuat kasih Kak Long pada mak dan ayah.

Untuk Kak Long yang Uda sayangi.... SELAMAT HARI LAHIR....

No comments:

There was an error in this gadget