Sunday, November 14, 2010

Hormatilah guru kita

Aku terpanggil menceritakan kisah aku dan guru aku satu ketika dulu. Kerana kisah itu juga, maka aku selalu mengingatkan diri aku untuk sentiasa mengingati guru tidak kira bagaimanapun sikap dan perangainya melayan kita...


Masa aku belajar di UIA dulu, aku belajar subjek Intorduction to ... (aku dha lupa nama subjek tu). Aku memang minat juga dengan subjek tu. Tambahan pula, pensyarahnya memang pandai mengajar. Boleh dikatakan aku agak suka dengannya dek kerana minat dengan subjek tersebut. Namun, satu hari, aku menegur kesalahan yang dilakukan oleh pensyarah itu di dalam kelas di hadapan pelajar-pelajarnya yang lain. Cara aku menegur agak kurang ajar dan tidak sepatutnya berlaku. Sebaik aku menegur, rakan baik aku menyiku aku dan menunjukkan wajah kurang senang. Sehabis waktu kelas, dia memarahi aku kerana sikap aku yang dikira kurang ajar menjatuhkan air muka pensyarah di hadapan kawan-kawan. Aku pula berkeras mempertahankan perbuatan aku kerana aku kira itu perkara biasa.


Selepas itu, kelas tersebut masih berjalan seperti biasa. Aku berjaya mendapat markah yang baik dan aku jangkakan aku boleh mendapat paling kurang B untuk subjek berkenaan. Namun, menjelang hari peperiksaan, aku menghadapi sedikit masalah. Entah apa silapnya, apa yang aku baca tidak langsung masuk ke otak. Malah, aku tidur lebih awal pada malam tersebut.


Sememangnya Allah nak tunjuk kekuasaan-Nya betapa aku memang salah dalam hal menegur pensyarah aku tu. Ketika waktu peperiksaan, aku langsung tidak boleh menjawab. FIkiran aku jadi bingung dan buntu. Selalunya, aku memang keluar awal pada setiap kali waktu peperiksaan. Namun, untuk subjek kali ini, aku tidak keluar awal seperti biasa. Bukan setakat tidak boleh keluar awal. Aku tidak mampu menjawab langsung soalan tersebut. Sehabis sahaja waktu peperiksaan, aku membiarkan kawan-kawan lain keluar. Aku adalah orang terakhir yang keluar dari dewan peperiksaan. Itu pun selepas aku selesai menangis. Air mata berjura-jurai keluar sebaik aku menghantar skrip jawapan peperiksaan. Tidak ada apa yang aku jawab. Terus aku teringat apa yang sudah aku lakukan. Keputusan gred subjek itu. C. Cukup2 makan.


Sedih memang sedih. Sebab aku yakin boleh score subjek ni. Tapi, Allah nak tunjuk kat aku. Nak bagi aku sedar. Jangan bongkak. Jangan sombong dengan guru. Walau pandai macamana pun, guru adalah orag yang mencurah ilmu pada kita. Andai guru kita salah, jangan kita segera tuding jari. Ada cara untuk menegur kesalahan setiap manusia. Memang sejak hari itu, aku cuba berhati-hati bila berdepan dengan insan bernama guru. Kalaupun cara dan sikapnya membuatkan aku berasa tidak senang dan menyampah, aku akan cuba pastikan aku tidak kurang ajar dengannya. Kerana, jika guru tidak redha dengan kita, maka ilmunya selamanya sukar untuk masuk dalam diri. Percayalah. Jadikan iktibar. HORMATI GURU WALAUPUN DIA LEBIH RENDAH PENDIDIKANNYA DARI KITA. Kerana, walaupun dia muda usianya, dia tetap guru kita, yang memberi kita ilmu untuk kita meneruskan hidup di dunia ini.


No comments: